
PERANCIS meraih kemenangan 1-0 ke atas Belgium dalam Liga Negara-Negara UEFA selepas pemain gantian, Michael Olise, menjaringkan gol dua minit sebelum tamat perlawanan, manakala Itali kembali ke landasan kemenangan dengan membelasah Turkiye 4-1 di tempat lawan, awal pagi tadi.
Aksi di Brussels berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan silih berganti menguasai permainan, namun Olise memastikan permulaan kemenangan pengendali Perancis, Zinedine Zidane, berterusan menerusi larian pantas dari kawasan tengah sebelum melepaskan rembatan kemas untuk kemenangan dalam aksi Kumpulan A1 itu.
Perancis turun tanpa kapten Kylian Mbappe dan Zidane melakukan sembilan perubahan berbanding kesebelasan yang menewaskan Turkiye 1-0 minggu lalu. Bagaimanapun, kemasukan Ousmane Dembele, Rayan Cherki dan Olise membantu Perancis mengubah rentak permainan.
Itali tewas 2-0 kepada Belgium dalam aksi pembukaan Liga Negara-Negara pada Jumaat lalu, sekali gus menjadi permulaan mengecewakan buat Roberto Mancini yang kembali mengendalikan pasukan itu.
Namun, dalam hujan lebat di Bursa, Itali tampil dengan aksi berbeza.
Alessandro Bastoni meletakkan Itali di depan pada minit kesembilan menerusi sepakan sudut sebelum Davide Frattesi menggandakan kelebihan 13 minit kemudian selepas menyambar bola muntah hasil percubaan Michael Kayode dari sebelah kiri yang ditepis penjaga gol, Altay Bayindir.
Itali mendahului 3-0 pada minit ke-27 apabila Kayode, yang membuat penampilan sulung, melepaskan rembatan rendah yang menerjah gawang. Itali menamatkan babak pertama dengan 10 percubaan selepas menguasai permainan.
Rentak sengit berterusan selepas rehat apabila Baris Alper Yimaz merapatkan jurang buat Turkiye yang melakukan tiga pertukaran pada separuh masa, namun kelebihan tiga gol Itali kembali selepas Pio Esposito menanduk masuk gol keempat pada minit ke-50.







