SHAH ALAM – Persekutuan Alumni Universiti Teknologi MARA Malaysia (PAUiTM) ditugaskan menjadi penilai terhadap prestasi agensi utama Bumiputera termasuk universiti itu sendiri dan mengemukakan cadangan bagi memperkukuh keupayaan institusi berkenaan.
Perdana Menteri berkata, kumpulan berkenaan akan diberi peluang menilai prestasi dan peranan agensi utama Bumiputera, selain mengenal pasti ruang yang boleh ditambah baik.
“Saya mahu memberi jaminan hari ini kepada alumni bahawa bagi membuktikan kesungguhan kita, saya akan menyediakan peluang dan ruang.
“Ini untuk anda menilai setiap program utama agensi Bumiputera termasuk UiTM, supaya ia dapat diperbaiki dan diperkasakan,” katanya berucap pada pada Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, alumni turut perlu memberi pandangan mengenai bidang akademik dan fakulti yang perlu diperluas bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Menurut beliau, inisiatif itu membolehkan alumni menyumbang secara langsung dalam usaha memperkukuh institusi yang memainkan peranan penting dalam memperluas peluang pendidikan kepada Bumiputera.
“Antara bidang yang diberi penekanan ialah kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum, penjagaan kesihatan dan bidang baharu yang sedang berkembang.
“Berikan pandangan dan cadangan, saya jamin insya-Allah, kita akan memberikan perhatian yang diperlukan untuk memperkukuh keupayaan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga perlu memanfaatkan pengalaman bekas pemimpin dan individu lain yang mempunyai pengalaman langsung mengenai kekuatan serta kelemahan agensi Bumiputera.
“Kita perlu memanfaatkan semua kekuatan yang ada. Ada individu berpengalaman dari masa lalu yang boleh dimanfaatkan sebaik mungkin kerana mereka sendiri sudah melihat kekuatan dan kelemahan berkenaan,” katanya.
Anwar berkata, langkah itu bagi memastikan UiTM terus meningkatkan keupayaannya dan muncul sebagai pusat kecemerlangan akademik terkemuka.
“UiTM sememangnya sudah dianggap sebagai institusi berjaya, namun perlu mengambil langkah lanjut untuk memperkukuh keupayaan akademiknya.
“Kita mahu UiTM terus melahirkan graduan seperti ini, tetapi perlu ada lonjakan dalam keupayaannya untuk meningkatkan standard,” katanya.



