
BETONG – Betong bakal memiliki Pusat Konvensyen Mini bagi memenuhi keperluan penganjuran forum, persidangan dan pelbagai program pembangunan ilmu di bahagian berkenaan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kelulusan pembinaan kemudahan itu telah diberikan selepas cadangan berkenaan dikemukakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut beliau, keperluan terhadap kemudahan berkenaan timbul berikutan Dewan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan yang selama ini digunakan untuk program berskala besar kurang sesuai bagi penganjuran forum.
“Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan bahawa di sini tidak mempunyai tempat yang sesuai, cuma ada Dewan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan namun kurang sesuai digunakan untuk mengadakan forum.
“Jadi beliau meminta sebuah Pusat Konvensyen Mini dan saya luluskan untuk kita membangunkan kemudahan itu seperti yang ada di Lawas,” katanya.

Abang Johari berkata, kewujudan pusat berkenaan turut memberi ruang lebih luas untuk memperkasa perkongsian ilmu, khususnya membabitkan golongan muda.
“Dengan kemudahan seperti ini, kita dapat melonjakkan ilmu anak-anak muda,” ujarnya.
Kemudahan itu kelak bukan sahaja melengkapkan prasarana awam di Betong, malah dijangka mengukuhkan peranan bahagian berkenaan sebagai lokasi penganjuran forum, persidangan dan program berskala lebih besar pada masa hadapan.




