
PERDEBATAN mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak seharusnya terhenti pada pertikaian mengenai sistem cukai mana lebih baik, sebaliknya perlu melihat aspek keadilan kutipan serta keberkesanan perbelanjaan kerajaan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perlis, Noor Amin Ahmad berkata, kedua-dua sistem cukai itu mempunyai tujuan sama iaitu menjadi sumber pendapatan kerajaan bagi membiayai perkhidmatan awam, pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Berbalik kepada konsep cukai yang asal. Meskipun pemerintah boleh mencukai, tidak semua diwajibkan membayar cukai pendapatan. Apakah pertimbangan pemerintah?
“Sudah tentulah tidak terlepas daripada perdebatan apa yang adil, apa yang wajar, apa yang cekap, apa yang mampu dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata, cukai merupakan antara sumber utama pendapatan negara, namun kerajaan tidak boleh mengenakan kutipan secara sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan hak dan kepentingan rakyat.
Katanya, sejarah menunjukkan isu percukaian menjadi antara faktor yang mencetuskan pemberontakan, sekali gus menjadikan sistem kutipan cukai dalam negara demokrasi tertakluk kepada kerangka perundangan dan perwakilan rakyat.
Dalam konteks Malaysia, perkara berkaitan kuasa percukaian dan kewangan negara antara lain diperuntukkan menerusi Perkara 74, Jadual Kesembilan serta Perkara 96 hingga 100 dan Perkara 104 Perlembagaan Persekutuan.
“Kek terbesar ialah cukai langsung, iaitu cukai pendapatan individu, syarikat, petroleum, cukai pegangan dan pendapatan lain serta yang lain termasuk duti setem dan kenaikan harta tanah.
“Cukai langsung meliputi sekitar 52 peratus hasil kerajaan. Lebih sedikit separuh cukai langsung ini disumbangkan oleh pelbagai syarikat, dan lebih sedikit suku daripada cukai langsung ini disumbangkan oleh individu. Jumlah fail aktif individu yang sepatutnya boleh dicukai 7.6 juta dan syarikat yang boleh dicukai ialah 620,000 buah. Terima kasih!
“Berbalik kepada isu GST atau SST, kedua-duanya adalah jenis cukai tidak langsung, selain duti eksais, duti import, duti eksport, levi dan lain-lain. Cukai tidak langsung meliputi kira-kira hampir 25 peratus hasil kerajaan di mana sekitar 18.4 peratus ialah daripada kutipan SST,” katanya.

Beliau menjelaskan, perbezaan utama antara cukai langsung dan tidak langsung ialah cukai langsung dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), manakala cukai tidak langsung dikutip Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Beliau berkata, SST telah digunakan di Malaysia sejak 1970-an dan tidak wajar dianggap sebagai sistem cukai yang terlalu buruk, walaupun mengakui ia mempunyai kelemahan.
Bagaimanapun, katanya, banyak negara kini beralih kepada sistem GST atau VAT kerana dianggap lebih cekap, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa Malaysia kembali menggunakan SST.

Amin turut mengingatkan bahawa pelaksanaan GST atau VAT di negara lain juga pernah menerima kritikan dan mencetuskan ketidakpuasan rakyat sehingga memberi kesan kepada kedudukan politik kerajaan.
“Kerajaan boleh dan akan memperkenalkan apa juga cukai, apa pun namanya, hanya untuk satu tujuan iaitu mendapatkan cukup hasil bagi memenuhi tujuan utama pentadbiran negara – membiayai perkhidmatan awam, membangun ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berjanji untuk mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta merta jika BN kembali mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).



