
USAHA Pakatan Harapan (PH) dalam politik bukan semata-mata berkisar kepada individu tertentu, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya lebih besar kepada usaha melakukan islah dan memperbaiki institusi demi kepentingan rakyat.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, prinsip utama PH sejak dahulu adalah menolak perkara yang boleh merosakkan negara termasuk penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.
Menurutnya, tumpuan perlu diberikan kepada pembaikan sistem dan institusi yang sepatutnya berperanan melindungi kepentingan serta wang rakyat.
“Bukan individu Najib Razak, tetapi yang memungkinkan perkara itu berlaku.
“Institusi inilah yang sepatutnya menjaga duit rakyat,” katanya ketika tampil dalam program audio siar The Tiger Show yang disiarkan di platform media sosial pada Rabu.

Fahmi berkata, isu membabitkan institusi seperti Lembaga Tabung Haji dan FELDA memberi kesan besar kepada rakyat, khususnya masyarakat Melayu yang bergantung kepada institusi berkenaan.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi apabila bapanya pernah bekerja dengan FELDA, sekali gus menjadikan isu berkaitan institusi itu dekat dengan dirinya.
“Saya sensitif mengenai FELDA sebab ayah saya kerja FELDA. Hutang 1MDB sampai 20 hingga 30 tahun kena bayar,” katanya.

Menurut Fahmi, dana yang sepatutnya dimanfaatkan untuk pembangunan rakyat akhirnya terjejas akibat masalah yang berlaku dalam institusi, sedangkan peruntukan tersebut boleh digunakan bagi membina hospital, klinik dan jambatan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan usaha reformasi institusi perlu diteruskan, termasuk melalui pindaan terhadap undang-undang bagi memastikan kuasa tidak disalahgunakan.
Beliau memberi contoh pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia yang dilakukan ketika berada dalam kerajaan, khususnya berkaitan Seksyen 233.
Katanya, pindaan itu memastikan unsur parodi dan satira tidak lagi dianggap sebagai kesalahan secara sewenang-wenangnya, selain menyediakan penjelasan yang lebih jelas mengenai penggunaannya.
“Jadi untuk pihak pendakwaan dan pembelaan, dia tahu macam mana nak berhujah di mahkamah.
“Kita tak lagi jelik semata-mata tapi jelik melampau, tak boleh disalahguna. At least satu reformasi dalam MCMC itu sendiri,” katanya.

Fahmi turut melihat landskap politik negara ketika ini sebagai satu tempoh pembentukan semula jajaran politik, dengan setiap negeri mempunyai keadaan dan pertimbangan politik yang berbeza.
Beliau berkata, kestabilan politik di peringkat Persekutuan sejak empat tahun lalu turut memberi keyakinan kepada pelabur yang lazimnya menilai faktor kestabilan politik serta konsistensi dasar.
“Alhamdulillah setakat ini empat tahun, saya bersyukur bila ada kestabilan politik dekat federal. Maksudnya pelabur akan lihat dua benda, kestabilan politik dan dasar.
“Kalau dia masuk dan melabur, dasar tak berubah, itu yang separuh pertama tahun 2026 mencecah KDNK (Kumpulan Dalam Negara Kasar) yang tinggi,” katanya.
Mengulas perkembangan politik negeri, Fahmi berkata keadaan di setiap negeri tidak boleh disamakan kerana ia dipengaruhi sejarah, kekuatan parti dan bentuk kerjasama masing-masing.
Katanya, Melaka mempunyai dinamik tersendiri susulan kedudukan UMNO dan BN yang secara tradisinya mempunyai pengaruh besar di negeri itu.
Beliau menyifatkan keadaan politik semasa sebagai satu proses pembentukan semula jajaran, dengan parti-parti politik masing-masing cuba membentuk ‘orde baharu’.
“Negeri by negeri ada orde baru. UMNO BN 60 tahun, jadi masing-masing nak bentuk baru, ada berjaya, tak berjaya,” katanya.
Fahmi berkata, dalam keadaan politik yang berubah, pemimpin parti perlu bersedia mengetepikan perbezaan tertentu demi kepentingan negara, namun tidak menggadaikan prinsip asas.
“Untuk PH, kita nak reform, kita nak islah. Kita takkan gadai Rukun Negara. Itu pegangan, itulah garis merah yang sebenar,” katanya.




