
KUCHING – Pembukaan laluan penerbangan terus Kuching-Jakarta oleh AirBorneo dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Sarawak sebagai hab pengumpulan jemaah umrah dari rantau Borneo, khususnya Sabah, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
Pengerusi Pertubuhan Agensi Umrah dan Haji Sarawak (SUHA), Ruzaiman Ghazalee berkata, kesalinghubungan udara yang semakin berkembang membuka peluang untuk memperkukuh ekosistem industri umrah di negeri ini, sekali gus menyokong aspirasi mewujudkan penerbangan terus dari Kuching ke Jeddah pada masa hadapan.
“Laluan Kuching-Jakarta yang mula beroperasi pada 13 November lalu merupakan perkembangan positif dalam memperluas jaringan penerbangan antarabangsa Sarawak, khususnya dengan pasaran Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk Islam yang besar.
“SUHA turut merancang mengadakan pertemuan dengan pihak AirBorneo bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam pembangunan rangkaian penerbangan yang dapat memenuhi keperluan perjalanan jemaah umrah,” katanya.

Dalam hubungan itu, Ruzaiman berharap syarikat penerbangan milik Sarawak berkenaan dapat mempertimbangkan pembukaan laluan terus Kuching-Pontianak bagi melengkapkan perkhidmatan AirAsia yang sedang beroperasi.
“Selain itu, SUHA berharap AirBorneo dapat mempertimbangkan laluan terus Kuching-Pontianak bagi melengkapkan perkhidmatan AirAsia sedia ada.
“Penambahan penerbangan ini mampu menarik lebih ramai jemaah umrah dari Kalimantan Barat menjadikan Kuching sebagai hab pengumpulan, sekali gus menyokong potensi penerbangan terus Kuching-Jeddah kelak,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Ruzaiman berkata, kedudukan geografi Kuching yang strategik memberikan kelebihan kepada Sarawak untuk berperanan sebagai pusat perhubungan bagi jemaah dari seluruh Kepulauan Borneo sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.
Menurutnya, pembangunan hab pengumpulan jemaah umrah juga berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada hab penerbangan di luar Sarawak, tertakluk kepada ketersediaan laluan dan kemudahan penerbangan yang bersesuaian.
Beliau berpandangan, usaha itu bukan sahaja dapat memperluas pilihan perjalanan kepada jemaah, malah mampu memberikan manfaat ekonomi kepada pelbagai sektor tempatan.
Antaranya termasuk industri pelancongan, perhotelan, pengangkutan, perkhidmatan sokongan serta agensi pengendali umrah yang beroperasi di negeri ini.
Sehubungan itu, Ruzaiman menyeru agar kerjasama antara pengendali umrah, syarikat penerbangan dan Kerajaan Sarawak terus diperkukuh bagi membangunkan ekosistem perjalanan umrah yang lebih tersusun dan berdaya saing.
Terdahulu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan pelancaran penerbangan terus sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 13 November lalu.
Perkhidmatan menggunakan pesawat Boeing 737-800 itu beroperasi tiga kali seminggu, iaitu setiap Isnin, Jumaat dan Ahad, dengan tambang sehala bermula RM399 bagi kelas ekonomi serta RM888 bagi kelas perniagaan.
Pembukaan laluan berkenaan menjadi antara perkembangan penting dalam peluasan jaringan penerbangan AirBorneo, sementara cadangan menjadikan Kuching sebagai hab umrah serantau masih memerlukan perbincangan lanjut bersama pihak berkepentingan.



