
PUTRAJAYA – Kerjasama dan persefahaman antara kerajaan Persekutuan dengan Sarawak terus menjadi keutamaan dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipelihara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengadakan kunjungan ke negeri berkenaan pada Isnin.
Menurutnya, pertemuan tersebut turut menyentuh beberapa perkara berkepentingan bersama yang melibatkan aspek keselamatan, politik, ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Kami bersetuju bahawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat harus terus menjadi keutamaan.
“Semangat saling menghormati, persefahaman dan kepercayaan perlu terus menjadi asas hubungan Persekutuan-Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, komitmen dan sokongan Sarawak terhadap usaha Kerajaan Persekutuan memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pentadbiran negara.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama yang diberikan Sarawak dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua peringkat kerajaan.
“Dalam konteks politik negara, saya menghargai komitmen dan sokongan Sarawak terhadap usaha Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran negara,” katanya.
Menurut Saifuddin, kerjasama dan persefahaman yang berterusan itu penting bagi membolehkan kerajaan menumpukan perhatian terhadap agenda pembangunan ekonomi, pelaksanaan reformasi serta usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa hubungan yang berasaskan sikap saling menghormati dan kepercayaan perlu terus dipelihara demi kepentingan bersama.
Pertemuan yang berlangsung pada 23 November itu mencerminkan kesinambungan hubungan kerja antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak dalam menangani perkara berkaitan pentadbiran dan pembangunan negara.



