
PUTRAJAYA – Mengaitkan keputusan pengurangan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada RM1,000 sebagai tindakan DAP disifatkan sebagai polemik politik pihak lawan untuk membangkitkan kebimbangan serta menakutkan masyarakat Melayu.
Pemerhati politik dan undang-undang, Muhammad Safuan Solihin berkata, naratif yang meletakkan DAP sebagai pihak pembuat keputusan itu tidak mengambil kira hakikat bahawa kelulusan berkenaan dibuat Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Menurut beliau, kedudukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, sebagai pemimpin DAP tidak boleh dijadikan asas untuk mendakwa parti itu mengarahkan atau menentukan pengurangan premium berkenaan.
“Hannah sendiri menjelaskan di Dewan Rakyat semalam bahawa beliau bukan anggota jawatankuasa berkenaan dan tidak mempunyai kuasa menentukan kadar premium tanah. Ini bermakna, kuasa membuat keputusan terletak pada jawatankuasa yang mempunyai bidang kuasa tersebut, bukan pada parti politik yang dianggotai oleh menteri.
“Oleh itu, mengaitkan pengurangan premium itu sebagai keputusan DAP hanya berdasarkan kedudukan Hannah dalam parti berkenaan merupakan satu lompatan kesimpulan yang tidak disokong oleh fakta proses kelulusan yang didedahkan setakat ini,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Muhammad Safuan tidak menafikan Hannah memainkan peranan menyelaras dan mengambil tindakan susulan terhadap permohonan KLSCAH selepas diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencari penyelesaian berhubung isu tanah dan pajakan bangunan itu pada 17 Februari lalu.
Bagaimanapun, katanya, tindakan menteri membawa sesuatu permohonan untuk pertimbangan kerajaan tidak bermaksud beliau mempunyai kuasa mutlak meluluskan kadar premium, apatah lagi menjadikan kelulusan itu sebagai keputusan parti politik yang diwakilinya.

“Ramai melihat isu ini secara mudah, premium asal RM4.67 juta, kemudian turun kepada RM1,000. Lalu timbul tanggapan bahawa KLSCAH diberikan keistimewaan kerana pertubuhan itu mewakili masyarakat Cina. Namun, penjelasan kerajaan menunjukkan ada perubahan asas dalam permohonan tanah berkenaan.
“KLSCAH pada asalnya memohon pembaharuan pajakan 99 tahun dengan tanah masih dikategorikan untuk kegunaan komersial. Penilaian awal menghasilkan anggaran premium kira-kira RM4.67 juta.
“Namun, KLSCAH menarik balik rayuan asal dan mengemukakan permohonan baharu untuk menyerahkan semula tanah serta mendapatkan pemberimilikan semula bagi kegunaan institusi, bukannya komersial. Implikasi besar kerana tidak boleh dibangunkan untuk tujuan seperti pembinaan kondominium atau pusat beli-belah,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Safuan berpandangan, penetapan premium nominal RM1,000 juga bukan kemudahan eksklusif KLSCAH kerana tujuh pertubuhan lain pernah menerima kadar sama, termasuk Yayasan Tuanku Bainun, Pertubuhan BAKTI, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Katanya, jika pihak tertentu mahu mempertikaikan keputusan itu, perbandingan sewajarnya perlu dibuat berdasarkan kategori tanah, syarat kelulusan dan peruntukan undang-undang, bukannya menggunakan identiti kaum atau parti untuk membentuk persepsi negatif.
“Tidak memadai sekadar membandingkan nama pertubuhan atau latar belakang kaum penerima. Persoalan lebih substantif mengapa tujuh pertubuhan lain boleh menerima kadar nominal yang sama, tetapi apabila KLSCAH menerimanya, keputusan itu terus dikaitkan dengan DAP? Ini ialah persoalan mengenai konsistensi penilaian dan persepsi politik yang wajar diteliti.
“Hakikat bahawa KLSCAH merupakan pertubuhan masyarakat Cina tidak bermaksud setiap keputusan pentadbiran yang memberikan manfaat kepadanya mesti dianggap sebagai keputusan berasaskan kepentingan kaum.
“Begitu juga, hakikat bahawa Hannah Yeoh ialah pemimpin DAP tidak membuktikan bahawa keputusan jawatankuasa itu dibuat atas arahan atau kepentingan DAP. Jika logik sedemikian diterima, apa sahaja kelulusan yang melibatkan pertubuhan Melayu boleh dituduh sebagai agenda UMNO.
“Manakala keputusan yang melibatkan institusi Islam pula boleh terus dikaitkan dengan PAS. Ini akan menjadikan pentadbiran negara seolah-olah beroperasi berdasarkan identiti parti dan kaum, bukannya undang-undang serta prosedur,” katanya.


