PRN Melaka: Tiga penjuru masih dalam percaturan – Penganalisis

DINAMIKA politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka terus kompleks berikutan bentuk kerjasama antara parti masih belum dimuktamadkan, dengan kemungkinan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bertanding secara berasingan masih terbuka.

Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, situasi politik di Melaka lebih rumit berbanding negeri lain kerana setiap parti mempunyai kepentingan dan tuntutan tersendiri, terutama dalam rundingan pembahagian kerusi.

Katanya, pertandingan tiga penjuru boleh berlaku sekiranya rundingan antara parti gagal mencapai persetujuan, selain terdapat kemungkinan kerjasama hanya dicapai di kerusi tertentu.

“Melaka tidak sejelas negeri lain. Keadaannya lebih rumit.

“Mungkin akan berlaku pertandingan secara solo. Tiga gabungan, iaitu PN, BN dan PH, mungkin akan bertanding. Mungkin juga mereka akan bekerjasama untuk kerusi-kerusi tertentu,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Mazlan berkata, kedudukan Pas turut menjadi antara faktor yang merumitkan rundingan politik di Melaka, khususnya sekiranya berlaku kerjasama dengan UMNO dan BN.

Katanya, Pas sebelum ini turut menyatakan keyakinan terhadap kekuatan mereka di Melaka dan mahu pembahagian kerusi yang mengambil kira kedudukan parti itu.

“Pas juga mahu pembahagian kerusi yang adil kepada mereka.

“Mereka tidak mahu keadaan di mana UMNO mengekalkan banyak kerusi, tetapi Pas hanya diberikan jumlah kerusi yang sedikit untuk bertanding.

“Itu yang menyebabkan keadaan di Melaka agak rumit,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, kemungkinan BN dan PH bekerjasama juga tidak boleh diketepikan, dengan kedua-dua gabungan mempunyai kekuatan berbeza dari segi kawasan dan kelompok pengundi.

Katanya, PH mempunyai sokongan lebih ketara di kawasan bandar dan dalam kalangan pengundi bukan Melayu, manakala UMNO mempunyai asas sokongan di kawasan Melayu dan luar bandar.

“PH juga memerlukan gabungan yang lebih besar. Jika mereka bekerjasama dengan BN, bentuk sokongan boleh menjadi lebih luas berbanding jika bertanding secara solo.

“Dengan PH, mereka mempunyai sokongan di kawasan masyarakat Cina dan kawasan bandar, manakala UMNO mempunyai kekuatan di kawasan luar bandar.

“Jadi, dari segi politik pilihan raya, gabungan itu boleh melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Mengulas kedudukan PH, Mazlan berkata gabungan itu perlu mempertimbangkan bentuk kerjasama yang mampu memberikan ruang lebih luas untuk menghadapi persaingan di Melaka.

Sementara itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata belum ada keputusan dibuat berhubung kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka.

Related Posts

‘Ketika di atas tunduk, bila di bawah bongkak’ – Peja

PUTRAJAYA – Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyelar sikap segelintir pihak yang lupa diri terhadap jasa pemimpin selepas tidak lagi berkuasa, termasuk berubah pendirian terhadap individu yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pas akui ada kekuatan tapi masih mahu bersama ‘abang long’ UMNO di PRN Melaka

PUTRAJAYA – Pas akan terus ‘dibuli’ UMNO dalam rundingan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, seperti yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan. Exco Angkatan Muda…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lelaki dipenjara 10 bulan miliki 600 liter petrol tanpa permit

  • By Fatin
  • September 24, 2026
Lelaki dipenjara 10 bulan miliki 600 liter petrol tanpa permit

346 sampel sayur dikesan langgar had residu racun perosak sepanjang RMKe-12

346 sampel sayur dikesan langgar had residu racun perosak sepanjang RMKe-12

Kes maut wanita OKU: Bapa dan anak lelaki ditahan reman

Kes maut wanita OKU: Bapa dan anak lelaki ditahan reman

Murid Tahun Empat meninggal dunia selepas digilis lori

Murid Tahun Empat meninggal dunia selepas digilis lori

‘Ketika di atas tunduk, bila di bawah bongkak’ – Peja

‘Ketika di atas tunduk, bila di bawah bongkak’ – Peja

Mayat pekerja tongkang ditemukan tidak sempurna di parit ladang sawit

Mayat pekerja tongkang ditemukan tidak sempurna di parit ladang sawit