
MUKAH – Mayat pekerja tongkang warganegara Indonesia yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Batang Igan pada 19 September lalu, akhirnya ditemukan dalam keadaan menyayat hati pada Rabu malam.
Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) memaklumkan, mayat mangsa yang dikenali sebagai Saiful Bahri, 33, dijumpai oleh orang awam di dalam sebuah parit besar di kawasan ladang kelapa sawit.
Menurut kenyataan tersebut, lokasi penemuan mangsa terletak kira-kira tiga kilometer menghala ke kawasan hulu sungai dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Pasukan penyelamat telah bergegas ke lokasi dan berjaya membawa keluar mayat mangsa pada jam 8.50 malam.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan anggota badan yang tidak lengkap dan proses pengecaman awal telah pun dilakukan oleh dua orang rakan sekerjanya,” kata UKPS dalam satu kenyataan pada Khamis.
Susulan penemuan dan pengesahan identiti mangsa tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersepadu di Batang Igan yang dikoordinasikan pelbagai agensi penyelamat sejak beberapa hari lalu ditamatkan sepenuhnya.
Terdahulu, dalam insiden pada 19 September, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika sedang menjalankan tugas di atas tongkang ‘Lee Ling 2’ berhampiran pembinaan Jambatan Igan pada kira-kira jam 6.15 petang.
Kehilangan mangsa pada mulanya disedari oleh rakan sekerja sebelum usaha pencarian awal menggunakan bot tempatan dilancarkan namun gagal, yang membawa kepada pengaktifan operasi SAR.






