
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pementasan teater muzikal arahan seniman ulung, Datuk M. Nasir, ‘Mansur dan Liu’ sebagai karya yang berjaya mengangkat seni, budaya dan sejarah negara.
Anwar berkata, beliau berkesempatan menyaksikan pementasan berkenaan di Panggung Sari, Istana Budaya, malam tadi.
Menurutnya, karya berkenaan diadaptasi daripada karya agung Tun Sri Lanang, Sulalatus Salatin, yang mengangkat kisah Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu.
“Pementasan ini turut menggambarkan hubungan diplomasi, budaya dan sejarah antara Kesultanan Melaka dengan Dinasti Ming,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar turut merakamkan tahniah kepada M. Nasir dan seluruh warga produksi atas persembahan yang disifatkannya mengagumkan.
Beliau berkata, pementasan itu membuktikan hasil seni tempatan mampu diangkat ke tahap yang membanggakan serta berpotensi untuk dipersembahkan di pentas antarabangsa.
“Kerajaan akan terus memberi dukungan kepada penggiat seni dan industri kreatif agar lebih banyak karya bermutu dapat dilahirkan, sekali gus mengangkat martabat seni dan budaya Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.







