Pengampunan Najib ubah landskap politik, beri kelebihan kepada PH – Hassan Karim

PENGAMPUNAN bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak disifatkan memberi ‘bola tanggung’ kepada Pakatan Harapan (PH) untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perkembangan itu mengubah landskap politik negara apabila isu pengampunan Najib dijangka menjadi antara perkara yang akan diberi perhatian pengundi menjelang pilihan raya akan datang.

“Sekarang UMNO-BN sudah mula berada dalam keadaan defensif. Di media sosial, rakyat sudah mula bertanya: bila UMNO mahu lancarkan tabung pulihkan kerugian 1MDB?” katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.

Hassan berkata, rekod Najib ketika menerajui UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga tidak menunjukkan kemenangan besar dalam pilihan raya umum.

Katanya, pada PRU13 pada 2013, BN kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, manakala data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan jumlah undi popular yang diperoleh Pakatan Rakyat mengatasi BN walaupun BN masih membentuk kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, keputusan PRU14 pada 2018 pula menyaksikan kerajaan BN pimpinan Najib ditolak pengundi, dengan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi antara isu utama ketika itu.

Menurutnya, kerjasama antara bekas pemimpin UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama PH pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyumbang kepada perubahan kerajaan pada 2018.

Hassan mendakwa, pengampunan bersyarat terhadap Najib kini menyebabkan perhatian dan simpati terhadap bekas Perdana Menteri itu berubah, selain mencetuskan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai layanan berbeza dalam sistem keadilan.

“Sekarang apabila Najib Razak diberi pengampunan dan lega hukum, tiba-tiba simpati kepadanya kerana merengkok dalam penjara meruap dan lesap.

“Rakyat mulai marah apabila melihat sistem keadilan negara ini ada dua darjat. Satu untuk rakyat biasa golongan marhaen dan satu lagi untuk elit politik,” katanya.

Beliau turut mendakwa pengampunan berkenaan boleh memberi kesan terhadap kedudukan politik UMNO, khususnya apabila Najib kembali mendapat perhatian dalam parti berkenaan.

Hassan turut mempersoalkan kemampuan UMNO dan Pas untuk membawa naratif kerajaan yang bersih dan amanah sekiranya Najib terus menjadi tokoh penting dalam landskap politik kedua-dua parti.

Katanya, persoalan itu lebih ketara susulan sabitan Najib dalam kes SRC International serta kes 1MDB yang melibatkan pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion dalam kes 1MDB, dan keputusan berkenaan sedang melalui proses rayuan.

“Dari segi politik, Najib Razak kini betul-betul menjadi beban kepada UMNO dan juga Pas.

“Bagaimana UMNO dan Pas sekarang hendak bercakap mengenai kerajaan yang bersih dan amanah, yang telus, cekap dan adil apabila kini Najib telah muncul di hadapan mata rakyat sebagai satu simbol yang mencurigakan bagi sebuah kerajaan yang dikatakan ‘the government in waiting’?” katanya.

Related Posts

Nas agama bukan lesen memutihkan tafsiran politik

PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi artikel ‘Negara Menjadi Habuan Kerana Menjatuhkan Kuasa Besar Islam. Apakah Peranannya?‘mengaitkan kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, penjajahan wilayah Islam, pembentukan Israel dan kebangkitan Iran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tabung Najib ‘jarum halus’ UMNO halalkan rasuah – Wanita PKR

TABUNG Solidariti Najib Razak yang diwujudkan UMNO bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membayar denda RM50 juta didakwa sebagai ‘jarum halus’ untuk menghalalkan perbuatan rasuah.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Nas agama bukan lesen memutihkan tafsiran politik

Nas agama bukan lesen memutihkan tafsiran politik

Ops Ekstrem: JPJ Sabah sita 13 kenderaan, airsus antara ubah suai dikesan

Ops Ekstrem: JPJ Sabah sita 13 kenderaan, airsus antara ubah suai dikesan

Parlimen Sepanggar wajar dipecah dua jika kerusi Sabah ditambah – Mustapha

Parlimen Sepanggar wajar dipecah dua jika kerusi Sabah ditambah – Mustapha

Tabung Najib ‘jarum halus’ UMNO halalkan rasuah – Wanita PKR

Tabung Najib ‘jarum halus’ UMNO halalkan rasuah – Wanita PKR

Pengampunan Najib ubah landskap politik, beri kelebihan kepada PH – Hassan Karim

Pengampunan Najib ubah landskap politik, beri kelebihan kepada PH – Hassan Karim

Anwar puji pementasan ‘Mansur dan Liu’, yakin karya seni tempatan mampu ke antarabangsa

Anwar puji pementasan ‘Mansur dan Liu’, yakin karya seni tempatan mampu ke antarabangsa