Institusi pondok perlu kuasai AI, tradisi ilmu baharu diperkasa – PM

PUTRAJAYA – Institusi pondok perlu diperkasa dengan penguasaan ilmu baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selaras perkembangan teknologi dan keperluan semasa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan bersedia membantu memilih beberapa institusi pondok sebagai perintis untuk memulakan tradisi ilmu baharu berdasarkan pengkhususan serta manhaj tarbiah dan disiplin yang bersesuaian.

“Yang saya kata boleh ialah bantuan segera untuk memilih beberapa pondok sebagai contoh, bila kita bawa pengkhususan dalam bidang yang dikatakan supaya madrasah ini atau pondok menjadi suatu sistem yang cukup mantap.

“Dia tidak boleh umpamanya, bukan dari segi fizikal tetapi dari segi disiplin,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan bersempena dengan Festival Turath Islami Malaysia 2026 di sini, hari ini.

Anwar berkata, penguasaan AI dalam kalangan pelajar pondok penting kerana teknologi berkenaan mempunyai manfaat, namun pada masa sama boleh mendatangkan risiko sekiranya digunakan tanpa panduan etika dan akhlak.

“AI itu bahayanya ada, sama seperti telefon atau komputer. Jadi, mesti latih juga anak-anak di pondok itu menguasai,” katanya.

Beliau berkata, penguasaan teknologi perlu bergerak seiring dengan pengukuhan asas ilmu agama supaya generasi yang dilahirkan institusi pondok mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa tanpa mengabaikan nilai dan disiplin agama.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, tidak semua institusi pondok perlu memberi tumpuan kepada melahirkan ulama, sebaliknya sebahagiannya boleh menyediakan asas ilmu agama sebelum pelajar menceburi bidang profesional dan kemahiran lain.

“Kalau kita katakan semua pondok ini harus lahirkan semua ulama, tak boleh juga. Sebahagiannya khusus, baik.

“Sebahagiannya nak pergi engineering ke, nak jadi pilot ke, nak bidang TVET, saya ingat tak ada masalah. Sekurang-kurangnya dia ada asas ilmu agama yang cukup,” katanya.

Anwar berkata, pendekatan itu membolehkan sistem pendidikan pondok terus relevan dengan keperluan masyarakat, selain membuka ruang kepada pelajar untuk memilih bidang berdasarkan minat dan kebolehan masing-masing.

Beliau berkata, pada masa sama, sebahagian institusi pondok perlu mempunyai laluan ke universiti bagi membolehkan lulusan aliran tradisional turut menyumbang kepada sistem pendidikan awam.

“Saya setuju tak semestinya kalau kita iktiraf jurusan pondok sampai ke peringkat tinggi, tak semestinya dia masuk ke universiti, betul saya setuju tak ada masalah.

“Tetapi kita kena ingat, untuk sebahagian dari pondok ke universiti juga penting, sebab dia akan mempengaruhi sistem pendidikan awam,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan mempunyai strategi untuk memperkukuh sistem pondok sehingga ke peringkat tertinggi, di samping menyediakan asas pendidikan yang membolehkan pelajarnya memasuki sistem awam dan umum.

“Jadi, kita ada juga strategi di mana kita perkukuh sistem pondok sehingga ke peringkat tertinggi, dan sistem pondok yang memberikan asas supaya memberikan pendedahan pendidikan supaya masuk dalam sistem awam, sistem umum,” katanya.

Perdana Menteri berkata, usaha memperkasa institusi pondok perlu dilaksanakan secara positif dengan mengambil kira pandangan ulama serta kepakaran pihak yang mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan dan pengurusan.

Beliau turut mengulangi kesediaan kerajaan untuk membantu perkara yang mampu dilaksanakan, termasuk memilih beberapa institusi pondok sebagai contoh bagi memulakan pendekatan baharu dalam pengajian turath.

“Kita harus lebih positif. Dalam hal ini, saya tak ada perbalahan. Tak usah dengar pandangan yang membalas.

“Bagi saya, tanya apa yang perlu, yang ada upaya, yang boleh buat, saya kata boleh. Kalau saya tak sedia, saya kata tak sedia,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam usaha memperkukuh pengajian turath, termasuk JAKIM dan Kerajaan Selangor yang disifatkannya sebagai antara pihak yang ke hadapan dalam perkara berkenaan.

Related Posts

Kerajaan mahu lulusan pondok tembusi universiti, sistem pendidikan awam – PM

PUTRAJAYA – Kerajaan tekad memastikan sebahagian institusi pondok mempunyai laluan ke universiti bagi membolehkan lulusan aliran berkenaan turut menyumbang dan mempengaruhi sistem pendidikan awam. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim…

Lebih lanjut

teruskan membaca
NGO gesa dokumen pengampunan Najib didedah sepenuhnya

KUALA LUMPUR, 19 Sept — Empat belas pertubuhan masyarakat sivil menggesa semua dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Tun Razak didedahkan sepenuhnya, dengan menegaskan ketelusan penting bagi memelihara keyakinan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tiga maut, sembilan cedera dalam kemalangan babit 12 motosikal, tiga kereta

Tiga maut, sembilan cedera dalam kemalangan babit 12 motosikal, tiga kereta

Kerajaan mahu lulusan pondok tembusi universiti, sistem pendidikan awam – PM

Kerajaan mahu lulusan pondok tembusi universiti, sistem pendidikan awam – PM

Institusi pondok perlu kuasai AI, tradisi ilmu baharu diperkasa – PM

Institusi pondok perlu kuasai AI, tradisi ilmu baharu diperkasa – PM

Jangan takut mencuba, teroka potensi menerusi Rakan Muda – Mansur Asun

Jangan takut mencuba, teroka potensi menerusi Rakan Muda – Mansur Asun

Empat projek naik taraf jalan Sepanggar mahu disiapkan tahun ini

Empat projek naik taraf jalan Sepanggar mahu disiapkan tahun ini

PKR sedia lawan dengan siapa saja dalam PRN Melaka

PKR sedia lawan dengan siapa saja dalam PRN Melaka