PUTRAJAYA – Kerajaan tekad memastikan sebahagian institusi pondok mempunyai laluan ke universiti bagi membolehkan lulusan aliran berkenaan turut menyumbang dan mempengaruhi sistem pendidikan awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun tidak semua lulusan pondok perlu melanjutkan pengajian ke universiti, laluan berkenaan tetap penting bagi memastikan wujud kesinambungan antara pendidikan tradisional dengan sistem pendidikan umum.
“Saya setuju tak semestinya kalau kita iktiraf jurusan pondok sampai ke peringkat tinggi, tak semestinya dia masuk ke universiti, betul saya setuju tak ada masalah.
“Tetapi kita kena ingat, untuk sebahagian dari pondok ke universiti juga penting, sebab dia akan mempengaruhi sistem pendidikan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan bersempena dengan Festival Turath Islami Malaysia 2026 di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan mempunyai strategi untuk memperkukuh sistem pondok sehingga ke peringkat tertinggi, selain memberikan pendedahan pendidikan yang membolehkan pelajarnya memasuki sistem awam.
“Jadi, kita ada juga strategi di mana kita perkukuh sistem pondok sehingga ke peringkat tertinggi, dan sistem pondok yang memberikan asas supaya memberikan pendedahan pendidikan supaya masuk dalam sistem awam, sistem umum,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan sistem pendidikan tradisional tidak terpisah daripada perkembangan pendidikan umum negara.
Anwar berkata, usaha berkenaan perlu dilihat sebagai satu pendekatan untuk mewujudkan hubungan lebih rapat antara sistem pendidikan pondok dengan institusi pendidikan awam.
Menurutnya, kewujudan laluan ke universiti juga dapat membuka ruang kepada lulusan pondok untuk membawa asas pendidikan yang diterima mereka ke dalam sistem pendidikan umum.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pandangan serta kepakaran ulama perlu terus dimanfaatkan dalam memperkukuh sistem pendidikan pondok dan hubungannya dengan sistem pendidikan negara.
“Kita harus lebih positif. Dalam hal ini, saya tak ada perbalahan. Tak usah dengar lah pandangan yang membalas.
“Bagi saya, tanya apa yang perlu, yang ada upaya, yang boleh buat, saya kata boleh. Kalau saya tak sedia, saya kata tak sedia,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu akan membolehkan usaha memperkukuh pendidikan pondok dilaksanakan secara lebih tersusun berdasarkan perkara yang mampu dilaksanakan kerajaan.





