
POLITIK dan kuasa tidak seharusnya dijadikan matlamat akhir sebaliknya perlu diterjemahkan sebagai amanah untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat serta membina masa depan Malaysia lebih baik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dalam sebuah negara majmuk, politik perlu membawa penyelesaian bukan menyemarakkan kebencian serta perpecahan.
“Kuasa bukanlah matlamat akhir sebaliknya amanah untuk berkhidmat dan meninggalkan sebuah negara yang lebih baik kepada generasi seterusnya,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia ke-63 hari ini.
Menurut Mohamad, makna Malaysia selepas 63 tahun pembentukannya tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut mempertahankan pencapaian terdahulu sebaliknya diterjemahkan melalui kehidupan rakyat lebih adil dan sejahtera.
“Perpaduan perlu dibuktikan menerusi keadilan, sikap saling menghormati serta pembangunan yang dapat dinikmati secara saksama oleh rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang menjadi asas pembentukan Malaysia bukan kelemahan malah merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara.
“Prinsip Rahmatan Lil ‘Alamin yakni membawa rahmat dan kebaikan kepada seluruh alam harus terus menjadi pedoman.
“Kepelbagaian bukan kelemahan sebaliknya kekuatan perlu dipelihara dengan memastikan keadilan, kemanusiaan dan kesejahteraan menjadi asas dalam setiap tindakan tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang,” katanya.
Dalam masa sama, Mohamad menegaskan, amanah pemerintahan perlu diterjemahkan kepada perkara yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Ia termasuk memperkukuh keterjaminan makanan negara selain memastikan kebajikan golongan petani, pesawah, nelayan dan penternak terus diberi perhatian,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pembangunan dan kesejahteraan perlu dirasai seluruh rakyat tanpa mengira lokasi termasuk mereka yang tinggal di kawasan bandar dan desa.
Mohamad berkata, Hari Malaysia mengingatkan rakyat kepada kesepakatan besar yang membentuk negara apabila Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bersama-sama membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
“Malaysia ialah milik kita semua. Dari Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak, dari bandar hingga ke desa”.







