
KUCHING – Festival Peribumi Borneo (BIF) 2026 yang bakal berlangsung dari 12 hingga 15 November ini akan mengetengahkan kepelbagaian seni dan warisan budaya masyarakat Borneo menerusi tujuh pengisian utama.
Festival anjuran Majlis Seni Sarawak itu akan diadakan di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), Kuching dengan menghimpunkan penggiat seni, persatuan etnik dan komuniti kreatif dari Sarawak serta wilayah lain di Borneo.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran festival itu bertujuan memelihara dan memperkasakan warisan budaya agar terus diwarisi generasi muda.
Menurutnya, festival berkenaan turut menjadi platform memperkukuh pembangunan industri kreatif serta mempromosikan kepelbagaian warisan budaya sebagai produk pelancongan Sarawak.
“Kita tidak mahu warisan budaya ini hanya dapat dilihat di rumah panjang kerana bukan semua orang berpeluang pergi ke rumah panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Peribumi Borneo 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, pada Isnin.
Abdul Karim berkata, Sarawak mempunyai 34 kumpulan etnik dengan keunikan seni dan budaya masing-masing yang perlu terus dipelihara serta diperkenalkan kepada masyarakat lebih luas.
“Usaha memperkasakan industri kreatif perlu merangkumi semua komuniti tanpa hanya tertumpu kepada beberapa kumpulan etnik tertentu,” katanya lagi.
Sebanyak tujuh pengisian utama disediakan sepanjang festival berkenaan iaitu Sidang Keilmuan, Echoes of Borneo, Festival Tarian dan Lagu Melayu Asli Kali Ke-36 (FTLA), Ngelakar Seni Premium, Ruai Sarawak, Mini Show dan Market Seni.
Antara tarikan utama ialah Echoes of Borneo pada 13 November yang akan menampilkan persembahan seni dan kebudayaan dari Sarawak, Indonesia, Sabah dan Labuan.
Sementara itu, Ruai Sarawak yang berlangsung dari 13 hingga 15 November bakal menghimpunkan 12 persatuan etnik menerusi pameran adat resam, pakaian tradisional, kraftangan, makanan serta persembahan kebudayaan.
Pengisian tahun ini turut memberikan penekanan kepada warisan masyarakat Iban dengan mengetengahkan lima variasi busana tradisional dari Batang Ai, Batang Rajang, Kapuas, Seribas dan Sebuyau.
Festival berkenaan juga akan menampilkan FTLA Kali Ke-36 pada 14 dan 15 November dengan penyertaan 10 kumpulan finalis kategori tarian serta pertandingan nyanyian lagu Melayu asli.
Johan kategori tarian bakal menerima hadiah wang tunai RM10,000, manakala pemenang kategori nyanyian akan membawa pulang RM3,500.
Selain itu, Sidang Keilmuan yang berlangsung dari 12 hingga 14 November akan memberikan tumpuan kepada pembangunan ilmu dan kemahiran dalam bidang tarian, teater, muzik serta seni visual.
Ngelakar Seni Premium pula akan menjadi platform perbincangan mengenai adat dan warisan Dayak Borneo, manakala Mini Show menampilkan persembahan artis tempatan serta aktiviti interaktif.
Market Seni turut menyediakan peluang kepada pengusaha kraftangan, usahawan seni dan komuniti kreatif untuk mempromosikan serta memasarkan produk masing-masing.
Mengulas potensi ekonomi industri berkenaan, Abdul Karim berkata, jualan kraftangan sempena festival yang diadakan bersama Regata Sarawak tahun lalu mencecah RM2.4 juta dalam tempoh seminggu.
Menurutnya, pencapaian itu memperlihatkan potensi industri seni dan kraftangan dalam menjana pendapatan serta membuka peluang ekonomi kepada penggiat seni tempatan.
Beliau berharap penganjuran festival itu bukan sahaja dapat memastikan kesinambungan warisan budaya, malah memperluas jaringan kerjasama dan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan berasaskan kepelbagaian budaya.



