Farzana Hayani Mohd Nasir, 26, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang bertanding empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu itu berdepan tiga calon lain, termasuk penyandang kerusi daripada Barisan Nasional (BN), Lim Ban Hong, Mohamad Ali Mohamad daripada Bersatu dan Young Jie Yu yang mewakili Bersama.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ainu Nizla Kasman, mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding selepas proses penamaan calon berakhir pada jam 10 pagi.
Beberapa pemimpin utama parti turut hadir mengiringi calon masing-masing, antaranya Presiden MCA, Wee Ka Siong, pengasas Bersama, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
Farzana bukanlah wajah baharu dalam gelanggang pilihan raya.
Pada PRN Melaka 2021, ketika berusia 21 tahun dan masih bergelar mahasiswi Universiti Teknologi MARA (UiTM), beliau bertanding di DUN Sungai Rambai.
Kali ini, beliau kembali bertanding di DUN Klebang, dengan pengalaman politik yang dikumpul sejak penyertaan pertamanya dalam pilihan raya negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 10 November sebagai tarikh pengundian awal, manakala pengundian biasa berlangsung pada 14 November.
Secara keseluruhan, seramai 687,697 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRN Melaka kali ini, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera bersama pasangan dan 2,762 anggota polis.


