
PEKAN – Seminar Wakaf Irsod 2026 yang menghimpunkan lebih 120 peserta mencerminkan usaha berterusan pelbagai pihak menggembleng sumber wakaf di negara ini.
Seminar bertemakan ‘Masa Depan Pembangunan Hartanah Wakaf: Daripada Aset kepada Impak’ anjuran UDA Holdings Berhad (UDA) dengan kerjasama Wakaf Pahang itu disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Dianjurkan buat kali kedua di negara ini dan julung kali di Pahang, seminar berkenaan disertai wakil Majlis Agama Islam Negeri, agensi kerajaan, institusi kewangan, pemain industri hartanah, ahli akademik dan institusi wakaf.
Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, seminar itu memfokuskan wakaf irsod, iaitu wakaf daripada raja, kerajaan atau pemerintah bagi tujuan kebajikan dan pembangunan ummah.
“UDA komited memperkasa pembangunan hartanah wakaf melalui kerjasama strategik bersama institusi agama negeri dan pihak berkepentingan.
“Pengalaman UDA merangkumi empat projek dengan nilai pembangunan kasar RM313 juta di Pulau Pinang dan Kedah,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Tengku Panglima Raja Brig Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings, Datuk Seri Ahmad Fuad Kenali.
Majlis itu turut menyaksikan sumbangan wakaf RM3.1 juta daripada empat penyumbang melibatkan dua sumbangan wakaf irsod dan dua tabung wakaf masjid.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Dr Mohd Azmi Othman berkata, penganjuran seminar itu merupakan manifestasi titah Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah agar potensi wakaf irsod dimanfaatkan sebagai instrumen strategik pembangunan ekonomi Islam.
Katanya, Wakaf Pahang kini merekodkan 575 unit hartanah wakaf dianggarkan bernilai RM73.3 juta, dengan 17 projek bernilai RM8.7 juta disempurnakan sejak 2022.
“Sebanyak 47 projek bernilai RM86.8 juta berada dalam portfolio pembangunan, dengan dana terkumpul RM18.4 juta dan baki keperluan pembiayaan RM68.4 juta,” katanya.



