
RAKYAT Malaysia perlu menolak sebarang usaha membangkitkan sentimen perkauman dan sikap ekstrem yang boleh menghakis kekuatan negara sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum, kata Pakar Undang-undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal.
Beliau berkata, kepelbagaian kaum dan budaya yang wujud sejak sekian lama merupakan antara kekuatan utama Malaysia dan tidak seharusnya dijadikan punca perpecahan.
Menurutnya, rakyat perlu melihat diri mereka terlebih dahulu sebagai rakyat Malaysia dan mengekalkan sikap saling menghormati yang telah menjadi amalan masyarakat sejak sekian lama.
“Kita ialah rakyat Malaysia dan rakyat Malaysia merupakan satu komuniti. Kita sudah lama hidup dengan menghormati antara satu sama lain.
“Kita tidak mempunyai masa untuk bergaduh mengenai isu nasional atau isu kaum. Kita patut berbangga dengan keunikan negara kita yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum tetapi masih boleh hidup dalam keadaan aman,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Jumaat.
Noor Aziah berkata, kecenderungan sesetengah pihak membangkitkan sentimen perkauman secara berlebihan perlu dihentikan kerana ia boleh menjejaskan keharmonian yang menjadi kekuatan Malaysia.

Beliau berkata, rakyat sebaliknya perlu memperkukuh perkara yang menyatukan mereka, termasuk kemampuan meraikan pelbagai perayaan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Ramai orang luar sangat terkejut melihat bagaimana kita boleh hidup dalam keadaan aman. Kita meraikan Aidilfitri, Aidiladha, Krismas, Tahun Baharu Cina dan pelbagai perayaan lain.
“Tidak semua negara mempunyai keadaan seperti kita. Kita meraikan semuanya dan itu adalah kekuatan kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat juga perlu memahami bahawa kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi turut membawa tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Katanya, ancaman terhadap negara mempunyai pelbagai bentuk termasuk ancaman ekonomi dan keselamatan yang memerlukan kesedaran serta kesatuan rakyat untuk menghadapinya.
“Malaysia ialah sebuah negara merdeka dan berdaulat. Kita mempunyai sistem sendiri dan perkara itu sangat penting untuk dihargai oleh semua rakyat
“Selain itu semangat bersyukur dan kecintaan kepada negara perlu disematkan dalam jiwa,” katanya.





