
KOTA KINABALU – Petronas terus membuktikan komitmennya terhadap pembangunan anak muda Sabah menerusi pelbagai inisiatif pendidikan, tajaan dan latihan kemahiran bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada generasi muda membina masa depan.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, usaha berkenaan bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, sebaliknya membentuk laluan pembangunan bakat secara berterusan daripada peringkat sekolah hingga ke pendidikan tinggi dan latihan kemahiran.
“Bagi sesi 2026/2027, seramai 25 anak Sabah dipilih menerima Biasiswa Kecil Petronas, menjadikan jumlah keseluruhan penerima program berkenaan sejak diperkenalkan pada 2023 seramai 140 orang.
“Lebih membanggakan, daripada jumlah tersebut, sembilan penerima Biasiswa Kecil Petronas berjaya melangkah ke peringkat seterusnya dan hari ini dipilih menerima tajaan penuh di bawah Program Tajaan Pendidikan Petronas Memperkasakan Ilmu 2026,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Petronas Memperkasa Ilmu Sabah 2026, di sini pada Jumaat.

Menurut James, perkembangan itu menunjukkan pendekatan Petronas dalam membangunkan bakat tidak terhenti pada satu peringkat pendidikan, sebaliknya menyediakan laluan perkembangan bakat daripada sekolah, institusi pengajian tinggi, alam pekerjaan sehingga mampu kembali menyumbang kepada masyarakat dan negeri.
“Komitmen itu turut diterjemahkan menerusi pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya melalui Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) yang menyediakan peluang kepada anak muda Sabah memperoleh kemahiran teknikal selari dengan keperluan industri.
“Pada hari ini, kita turut melihat bagaimana Petronas menyokong pembangunan kemahiran melalui KTC. Tahniah kepada 22 pelatih baharu yang akan mengikuti program Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Instrumentasi Perindustrian dan Sistem Kawalan,” ujarnya.

Tambahnya, bidang berkenaan amat penting dalam menyokong keperluan industri moden, terutama ketika Sabah sedang bergerak ke arah ekonomi yang lebih pelbagai dan memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Keperluan tenaga mahir bukan hanya tertumpu kepada sektor minyak dan gas, tetapi turut merangkumi bidang perkilangan, pembinaan, tenaga, pelancongan, pertanian moden, teknologi dan ekonomi digital.
“Sabah memerlukan anak muda menjadi sebahagian daripada tenaga penggerak ekonomi negeri, bukan sekadar menjadi penonton kepada pembangunan yang berlaku di negeri sendiri.
“Sebab itu TVET menjadi antara fokus penting Kerajaan Negeri, termasuk usaha mengubah persepsi bahawa pendidikan kemahiran merupakan pilihan kedua.
“Dalam ekonomi hari ini, seorang tenaga mahir yang mempunyai kompetensi, disiplin dan pensijilan yang diiktiraf industri mempunyai nilai yang sangat tinggi,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan industri amat penting bagi memastikan kemahiran yang dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan pasaran pekerjaan, dengan kerajaan menyediakan ekosistem, institusi melahirkan bakat dan industri membuka ruang untuk mereka berkembang.
Dalam pada itu, James merakamkan penghargaan kepada Petronas kerana terus memainkan peranan sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri dalam pembangunan pendidikan dan modal insan di Sabah, selain menyediakan peluang kepada lebih ramai anak negeri membina masa depan melalui pendidikan dan kemahiran.
“Pendidikan merupakan antara pelaburan paling penting untuk masa depan Sabah kerana pembangunan infrastruktur, kawasan industri dan usaha menarik pelaburan perlu disokong rakyat yang berilmu, berkemahiran dan berkeupayaan menggerakkan pembangunan tersebut.
“Kalau hari ini kita menghantar anak-anak Sabah keluar untuk menuntut ilmu, kita mahu suatu hari nanti mereka kembali membawa pulang ilmu itu untuk membina Sabah. Itulah nilai sebenar sesuatu tajaan pendidikan.
“Pelaburan terhadap anak muda bukan sekadar memberi peluang kepada individu untuk berjaya, tetapi mampu menghasilkan kesan lebih besar kepada keluarga, masyarakat dan negeri, sekali gus membina generasi muda Sabah yang berilmu, kompeten, berani dan bersedia memimpin masa depan negeri,” tegasnya.





