
SEMALAM kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor menggegarkan bumi Jelapang Padi apabila memaki hamun Perdana Menteri (PMX) , Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kurang enak didengari sekiranya PMX luluskan lesen judi di negeri itu.
Sebagai seorang pemimpin yang dikatakan perjuang Islam adalah sangat tidak beradab untuk menghina serta menyumpah seseorang sesama Islam.
Kini bahasa kesat yang digunakan oleh Sanusi bukan lagi sekadar soal politik tetapi sudah menyentuh soal maruah jawatan, adab seorang pemimpin dan kematangan sebuah kerajaan negeri.
Lebih mengejutkan apabila kata-kata yang keluar begitu keras hanya kerana isu lesen premis perjudian.
Penulis ingin bertanya apa kaitan PMX dengan keputusan mahkamah?
Mahkamah Persekutuan ialah institusi kehakiman. Keputusan mahkamah bukan keputusan PMX.
Dalam kes Kedah, permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran merayu telah ditolak oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara.
Maka apabila kekalahan di mahkamah diterjemahkan menjadi serangan peribadi terhadap PMX, rakyat berhak bertanya adakah kerana tidak mampu menjawab keputusan mahkamah, PMX pula dijadikan kambing hitam?
Kalau benar Kerajaan Negeri yakin tindakannya betul dari sudut undang-undang, jawab dengan hujah undang-undang.
Kalau benar Kerajaan Negeri mempunyai kuasa, kemukakan peruntukan undang-undang.
Kalau benar keputusan mahkamah itu salah, gunakan saluran undang-undang yang tersedia.
Tetapi jangan apabila kalah di gelanggang undang-undang, gelanggang politik pula dijadikan tempat melepaskan marah.
Itulah yang membuat rakyat tertanya-tanya.
Kita boleh berbeza pandangan mengenai judi.
Malah, seseorang pemimpin boleh mempunyai pendirian agama dan moral yang sangat tegas terhadap perjudian. Itu haknya.
Tetapi pendirian yang tegas tidak bermaksud seseorang pemimpin diberikan lesen untuk mengeluarkan kata-kata kesat sesuka hati.
Lebih-lebih lagi apabila lidah itu bukan lagi lidah seorang individu biasa.
Ia lidah seorang Menteri Besar.
Jawatan tinggi menuntut disiplin yang tinggi.
Kalau orang biasa marah, mungkin orang boleh kata dia terbawa emosi.
Tetapi apabila seorang Menteri Besar marah, setiap perkataan mempunyai kesan politik dan imej kepada seluruh pentadbirannya.
Justeru itu rakyat wajar bertanya apakah makian itu hujah?
Apakah sumpah seranah itu hujah undang-undang?
Apakah mencaci PMX boleh membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan?
Jawapannya tentu tidak.
Keputusan mahkamah tetap keputusan mahkamah.
Dan kegagalan pentadbiran negeri di mahkamah tetap perlu dijawab oleh pentadbiran negeri.
Apa pun penulis yakin segala tindakan Sanusi itu adalah semata-mata mahu mengalihkan tiang gol sahaja.
Di sinilah perkara yang lebih besar perlu diteliti.
Kes rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab, kini memasuki fasa yang jauh lebih serius.
Pada 20 Ogos lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan beliau membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Prosiding bela diri ditetapkan selama empat hari bermula 9 Oktober 2026. Kes itu berkaitan pertuduhan meminta dan menerima suapan berhubung projek perlombongan unsur nadir bumi atau REE.
Perlu ditegaskan perintah membela diri bukan bermaksud tertuduh telah didapati bersalah.
Beban pembuktian akhirnya masih perlu dipenuhi mengikut undang-undang.
Namun begitu, perkembangan ini tetap penting.
Ia melibatkan individu yang pernah berada dekat dengan pusat kuasa pentadbiran negeri.
Maka rakyat Kedah berhak mengetahui apa yang berlaku.
Rakyat berhak bertanya dan mengikuti prosiding mahkamah.
Dan rakyat berhak menilai sendiri sama ada slogan tentang pentadbiran bersih, amanah dan berlandaskan Islam benar-benar diterjemahkan dalam amalan.
Sebab itu, apabila isu maki hamun terhadap PMX tiba-tiba menjadi begitu besar, rakyat sendiri boleh membuat penilaian.
Adakah isu judi sedang dibesarkan sehingga menenggelamkan persoalan yang lebih tidak selesa?
Itu bukan tuduhan bahawa sesiapa sedang merancang pengalihan perhatian.
Tetapi dalam politik, persepsi lahir daripada timing. Dan timing inilah yang mengundang persoalan.
Hero judi, tetapi bagaimana dengan rekod sendiri?
Lebih menarik, naratif perjuangan membanteras judi juga perlu dilihat secara menyeluruh.
Jika mahu berdiri sebagai jaguh anti-judi, jangan hanya bercakap tentang hari ini. Rakyat mempunyai hak untuk melihat rekod semalam.
Ketika era kerajaan Perikatan Nasional, jumlah cabutan khas nombor ramalan pernah meningkat daripada lapan kepada 22 kali setahun.
Rekod awam menunjukkan peningkatan itu berlaku selepas kerajaan PN mengambil alih, sebelum jumlah tersebut dikurangkan kembali kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023.
Jadi soalan yang sangat mudah perlu dijawab iaitu di mana suara lantang menentang 22 cabutan itu ketika ia berlaku?
Kalau perjudian benar-benar kemungkaran yang mesti diperangi tanpa kompromi, mengapa rakyat tidak melihat tahap kemarahan yang sama ketika jumlah cabutan khas dinaikkan?
Mengapa hari ini begitu berani melaungkan perang terhadap judi, sedangkan sejarah pentadbiran sendiri juga mempunyai episod yang boleh dipersoalkan?
Inilah masalah politik apabila seseorang cuba menjadi “hero” selepas keadaan berubah.
Rakyat bukan hanya melihat apa yang dikatakan hari ini.
Rakyat juga melihat apa yang dilakukan semalam.
Jangan jadikan agama sebagai perisai politik.
Yang lebih menyedihkan ialah apabila isu agama digunakan sebagai pelindung kepada kelemahan politik.
Perjuangan menentang judi adalah tidak salah.
Tetapi perjuangan agama tidak pernah menghalalkan bahasa kesat.
Menolak perjudian tidak memberikan seseorang lesen untuk menghina.
Marah terhadap keputusan mahkamah tidak bermakna seorang pemimpin boleh menyerang PMX sesuka hati.
Dan kalah dalam pertarungan undang-undang tidak boleh ditukar menjadi kemenangan politik hanya dengan meninggikan suara.
Kalau benar perjuangan itu kerana agama, tunjukkan akhlak agama.
Kalau benar perjuangan itu kerana rakyat, tunjukkan amanah kepada rakyat.
Kalau benar perjuangan itu kerana undang-undang, hormatilah keputusan mahkamah.
Itulah ukuran sebenar seorang pemimpin.
Rakyat Kedah sudah cukup matang untuk membezakan antara perjuangan dengan persembahan politik.
Mereka boleh menentang judi tanpa perlu menghalalkan maki hamun.
Mereka boleh menyokong perjuangan agama tanpa perlu menyokong penghinaan terhadap sesiapa.
Mereka juga boleh menunggu keputusan mahkamah tanpa perlu menerima naratif bahawa setiap kekalahan politik mesti berpunca daripada PMX.
Apa yang paling penting, rakyat boleh menonton dua pentas serentak iaitu
pentas politik yang penuh dengan maki hamun dan pentas mahkamah yang penuh dengan fakta serta keterangan.
Pada 9 Oktober nanti, apabila prosiding bela diri kes Mohamad Hilmi bermula, perhatian rakyat mungkin kembali kepada persoalan yang lebih besar.
Apa sebenarnya yang berlaku dalam projek REE itu?
Siapa terlibat?
Apa yang berlaku?
Apa buktinya?
Dan apakah keputusan mahkamah nanti?
Soalan-soalan itu tidak boleh ditutup dengan jeritan.
Tidak boleh ditutup dengan makian.
Tidak boleh ditutup dengan slogan agama.
Malah tidak boleh ditutup dengan menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran setiap kali pentadbiran sendiri berdepan masalah.
Akhirnya, rakyat akan membuat penilaian.
Kerajaan yang benar-benar yakin dengan dirinya tidak perlu menjerit untuk kelihatan benar.
Ia hanya perlu menunjukkan rekod.
Ia hanya perlu menjawab soalan.
Ia hanya perlu menghormati undang-undang.
Apa paling penting, perlu menunjukkan akhlak yang sepadan dengan agama yang sering dilaungkan.
Kerana akhirnya, lidah seorang pemimpin bukan sekadar alat untuk memaki lawan. Lidah itu adalah amanah.
Dan setiap amanah akan dipersoalkan bukan sahaja oleh rakyat, tetapi juga oleh Allah.




