
KUANTAN – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu mengambil pendirian menyokong kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus menerusi kenyataan bersama memaklumkan, keputusan tersebut dibuat demi menjamin kestabilan politik serta memelihara kebajikan rakyat di kawasan diwakili.
“Pendirian ini telah dipersetujui oleh pucuk pimpinan parti Bersatu dengan mengambil kira keperluan untuk menjamin kestabilan politik di negeri Pahang dan memelihara kebajikan rakyat di kedua-dua DUN yang kami wakili.
“Dengan muafakat yang telah dicapai bersama Menteri Besar Pahang, kami percaya bahawa pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul dan DUN Lepar akan diberikan tumpuan oleh Kerajaan Negeri Pahang,” kata kenyataan itu.
Mereka turut menegaskan komitmen untuk terus menggalas amanah secara bertanggungjawab menerusi kerjasama rapat bersama pentadbiran negeri.
“Kami akan terus melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat yang bertanggung jawab dengan sebaik-baiknya dan memberikan kerjasama kepada pentadbiran negeri demi memastikan pembangunan, kebajikan dan kepentingan rakyat Pahang terus terpelihara.
“Kami percaya bahawa dalam keadaan politik yang dinamik, kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan kelangsungan pentadbiran yang baik hendaklah sentiasa menjadi keutamaan,” jelasnya.
DUN Pahang mempunyai 42 kerusi dan pentadbiran kerajaan negeri dibentuk menerusi gabungan Barisan Nasional yang memiliki 17 kerusi iaitu UMNO 16 dan satu MIC 1 manakala Pakatan Harapan dengan 8 kerusi.
Perikatan Nasional pula menguasai 17 kerusi menerusi Pas (15 kerusi) dan Bersatu (2 kerusi).









