
JASIN – Usaha kerajaan menaik taraf kemudahan asas, memperluas akses kepada perkhidmatan harian serta menyediakan barangan keperluan pada harga lebih rendah menerusi inisiatif Jualan Rahmah mendapat maklum balas positif penduduk dan peniaga kecil di Sungai Rambai.
Bagi penduduk setempat, pembangunan yang dilaksanakan termasuk menaik taraf bangunan sekolah dan kemudahan kesihatan memberi kesan kepada keselesaan masyarakat, selain memudahkan urusan harian apabila kemudahan perniagaan seperti pasar raya semakin mudah diakses.
Seorang penduduk Sungai Rambai, Faridah Ros berkata, beliau berpuas hati dengan perubahan yang dilihat, khususnya usaha kerajaan memperbaiki kemudahan sedia ada yang sebelum ini sudah lama dan memerlukan penambahbaikan.
“Sebagai penduduk di kawasan ini, saya berpuas hati dengan pembangunan yang dilaksanakan. Dulu banyak bangunan sudah lama, termasuk sekolah dan klinik, tetapi sekarang kita dapat lihat usaha menaik taraf kemudahan berkenaan supaya menjadi lebih baik dan selesa.
“Bagi saya, penduduk bukan hanya mahukan projek besar, tetapi kemudahan asas seperti sekolah dan klinik yang baik. Kemudahan pasar raya yang semakin dekat juga memudahkan kita mendapatkan barangan keperluan harian,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), di sini hari ini
Bagaimanapun, dia yang juga peniaga kecil berpandangan usaha membantu rakyat berdepan kos sara hidup perlu diteruskan, terutama menerusi program Jualan Rahmah yang menawarkan barangan pada harga lebih rendah.
Katanya, program berkenaan sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah, namun pelaksanaannya perlu diperbanyakkan supaya lebih ramai penduduk dapat menikmati manfaat berkenaan.
“Jualan Rahmah dengan harga lebih murah memang membantu kerana kita boleh mendapatkan barangan pada harga lebih rendah. Tetapi program seperti ini bukan diadakan setiap hari.
“Saya berharap Jualan Rahmah dapat diperbanyakkan dan diadakan dengan lebih kerap. Bukan makanan sahaja, barangan keperluan lain seperti beras, sabun dan barang harian juga perlu diberikan perhatian,” katanya.
Dalam pada itu, inisiatif berkenaan turut menjadi antara usaha yang boleh membantu peniaga kecil dan masyarakat setempat menangani tekanan kos sara hidup.


