
SETIAUSAHA Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan ‘Dajjal’ sebagai keterlaluan.
Beliau berkata, CSA merupakan mekanisme persefahaman politik yang sepatutnya dinilai berdasarkan fakta, kandungan dan pelaksanaannya, bukannya dikaitkan dengan persoalan akidah atau keimanan seseorang.
“Bagi saya, kenyataan sebegini sangat ekstrem dan keterlaluan. Kita sedang membincangkan sebuah mekanisme persefahaman politik, bukannya persoalan akidah atau keimanan seseorang.
“Sejak bila perbezaan pendekatan politik perlu diheret sehingga dikaitkan dengan Dajjal?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Menurut Fuziah, prinsip keadilan yang dibangkitkan Abdul Hadi, iaitu kerajaan wajib berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mensyaratkan sokongan politik, sememangnya tidak dipertikaikan.

Malah, katanya, Abdul Hadi sendiri memetik Surah al-Ma’idah ayat 8 yang mengingatkan umat Islam supaya tidak membiarkan kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong mereka berlaku tidak adil.
“Bukankah prinsip yang sama sepatutnya menjadi panduan ketika menilai pihak yang berbeza pandangan politik?” katanya.
Fuziah turut mengingatkan bahawa setiap kenyataan Abdul Hadi mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat memandangkan beliau merupakan tokoh agama dan pemimpin politik.
Menurutnya, penggunaan istilah ‘Dajjal’ dalam pertikaian politik berisiko membentuk persepsi bahawa pihak yang mempunyai pendekatan berbeza bukan sekadar salah dari sudut politik, malah seolah-olah membawa kejahatan dari perspektif agama.
Sehubungan itu, beliau menggesa kritikan terhadap CSA dibuat berdasarkan fakta dan kandungannya, tanpa menggunakan istilah agama untuk menggambarkan pihak lain sebagai pembawa kejahatan.
“Politik memerlukan hujah dan kematangan, bukannya retorik keagamaan yang boleh menyuburkan kebencian dan perpecahan,” katanya.
