
BUDAYA tabayyun atau menyelidik dan memastikan kesahihan sesuatu maklumat perlu diperkasakan dalam kalangan rakyat bagi membendung penyebaran maklumat tidak sahih, terutama ketika media sosial menjadi antara sumber utama masyarakat mendapatkan informasi.
Pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, amalan berkenaan tidak seharusnya hanya ditekankan kepada generasi muda kerana semua lapisan masyarakat terdedah kepada lambakan maklumat serta pembentukan persepsi menerusi media sosial.
Beliau berkata, rakyat perlu dididik supaya tidak menerima sesuatu kenyataan secara bulat-bulat, sebaliknya membudayakan sikap menyelidik dan mencari kebenaran sebelum mempercayai atau berkongsi sesuatu maklumat.
“Kalau dalam bahasa Arab kita gunakan tabayyun, iaitu menyelidik atau mencari kebenaran terhadap sesuatu kenyataan.
“Perkara sebegini perlu kita terapkan dalam kalangan masyarakat, tidak kira generasi apa sekalipun. Budaya mencari ilmu dan kebenaran perlu diperkasakan serta diperkukuhkan,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP).
Shamrahayu berkata, kecenderungan mengaitkan isu penyebaran maklumat tidak sahih hanya dengan golongan muda juga perlu dielakkan kerana generasi lebih berusia turut berdepan risiko sama dalam menilai kandungan media sosial.
Katanya, perkembangan media sosial mempunyai dua sisi kerana platform berkenaan boleh menjadi saluran menyampaikan maklumat yang benar dan sahih, namun pada masa sama berupaya mencipta persepsi serta menyebarkan maklumat yang tidak tepat.
“Media sosial ini ‘double-edged sword’. Satu, ia boleh memberikan maklumat yang benar, tepat dan sahih. Satu lagi, ia boleh mencipta persepsi dan memberikan maklumat yang tidak sahih.
“Jadi, di sinilah pendidikan mengenai saluran yang berwibawa untuk seseorang warganegara mendapatkan maklumat perlu diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat juga perlu dididik mengenal pasti sumber yang boleh dipercayai, termasuk membiasakan diri merujuk dokumen rasmi, penerbitan akademik dan jurnal berwibawa ketika mendapatkan maklumat.

Katanya, ledakan maklumat di media sosial tidak seharusnya dijadikan alasan untuk masyarakat gagal mendapatkan maklumat tepat kerana pelbagai sumber kini boleh diakses dengan mudah.
“Rakyat perlu tahu laman sesawang yang bagaimana boleh dipercayai dan bagaimana hendak mengenal pasti sumber yang sahih.
“Contohnya, tulisan akademik mungkin diterbitkan dalam bentuk PDF dan disiarkan dalam jurnal yang berwibawa. Perkara seperti ini juga perlu diketahui masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Shamrahayu berkata, isu defisit kepercayaan terhadap sebahagian media rasmi turut perlu diberikan perhatian kerana kehilangan kepercayaan boleh menyebabkan masyarakat lebih cenderung bergantung kepada sumber alternatif di media sosial.
“Apabila rakyat sudah hilang kepercayaan kepada media yang dikatakan media rasmi, ini adalah satu perkara yang sangat serius,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat bagi membolehkan rakyat mendapatkan maklumat yang tepat dan benar daripada agensi kerajaan.
Menurutnya, akses kepada maklumat yang sahih dan boleh diterokai masyarakat dapat membantu mengurangkan kekeliruan serta membolehkan rakyat membuat penilaian berdasarkan fakta, bukan semata-mata persepsi yang dibentuk di media sosial.
“Apabila maklumat yang benar itu boleh diterokai dan didapati oleh individu serta masyarakat, perkara ini boleh membantu menyelesaikan isu berkaitan maklumat yang tepat di media sosial.
“Jadi, inilah pendidikan yang perlu kita berikan kehendak untuk membaca, menyelidik dan mencari sumber yang sahih,” katanya.
Shamrahayu berkata, budaya tabayyun perlu dijadikan sebahagian daripada amalan masyarakat dalam membentuk warga negara yang matang, berilmu dan tidak mudah dipengaruhi maklumat yang tidak disahkan.
Katanya, sikap mencari ilmu dan kebenaran bukan hanya penting dalam memahami isu politik, malah menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang mampu menilai sesuatu perkara secara rasional dan bertanggungjawab.






