
AYER KEROH – Kerajaan MADANI menolak sebarang desakan untuk mengawal stesen penyiaran dan agensi media sebaliknya komited mengekalkan kebebasan laporan berteraskan adab dan tertib.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan sebuah parti yang lahir daripada gerakan reformasi jalanan menentang kezaliman penguasa terdahulu, sekali gus enggan mengulangi corak pentadbiran lama yang gemar menyekat kebebasan bersuara.
Menurut beliau, sekiranya timbul isu berkaitan laporan yang tidak tepat, pendekatan kerajaan masa kini adalah menegur secara berhemah dan beradab, bukannya mengeluarkan arahan mutlak seperti zaman silam.
“Ada kawan-kawan sehingga hari ini, masih bertanya, kenapa Fahmi Fadzil tidak mengawal TV? Kita lahir di atas jalanan, menentang kuasa yang mengarah, pemerintah yang memaksa untuk melakukan macam-macam terhadap Datuk Seri Presiden kita semua. Adakah kita nak mengulangi kezaliman seperti itu? Sudah pasti tidak.
“Kita bukan dalam mod untuk mengawal media…tidak. Tapi sekiranya ada sebarang maklumat yang tidak benar, maka kita akan berurusan dengan media secara tertib dan beradab,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026, pada Ahad.
Mengulas lanjut Ketua Penerangan PKR itu berkata, kerajaan hari ini memilih pendekatan berbeza dengan menghormati kebebasan media, selaras dengan prinsip perjuangan dibawa PKR
Namun, Fahmi menjelaskan, sekiranya didapati terdapat maklumat tidak benar yang dilaporkan, pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada syarikat media terbabit.
“Sekiranya ada sebarang maklumat yang tidak benar, maka kita akan berurusan dengan media secara tertib dan beradab untuk maklumkan bahawa perlu buat sedikit perubahan.
“Ini berbeza. Saya boleh beritahu dalam kalangan rakan-rakan media mereka mengatakan berbeza zaman sekarang dengan zaman dulu. Zaman dulu, mereka akan diarah… tapi sekarang kita tidak buat begitu,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pengawalseliaan maklumat, Ketua Penerangan PKR itu berkata fokus kerajaan ketika ini adalah membanteras penyebaran fitnah dan sentimen perkauman di ruang digital yang digerakkan oleh akaun-akaun palsu.
Sehubungan itu, Fahmi mendedahkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti lebih 8,410 akaun palsu yang dikesan memainkan isu 3R sejak siri Pilihan Raya Negeri (PRN), serta memaklumkan kepada platform media sosial berkaitan untuk menurunkan akaun terbabit.
“Semakan mendapati modus operandi pihak terbabit adalah dengan menghasilkan akaun palsu menyerupai individu sebenar, menyebarkan hantaran berunsur emosi dan fitnah, sebelum memadamkan hantaran berkenaan selepas tangkap layar berjaya disebarkan secara meluas.
“Hampir setiap hari ratusan akaun palsu dalam media sosial yang cuba mengapikan sentimen telah dikesan dan akan diturunkan.
“Kita akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memanfaatkan keupayaan baharu untuk membasmi akaun-akaun palsu ini supaya isu-isu yang bersifat emotif tidak terus dimanipulasi,” katanya





