
AYER KEROH – PKR memberi peringatan terbuka kepada mana-mana pihak agar tidak tergesa-gesa memasang angan-angan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara ketika kerajaan semasa sedang giat memulihkan negara.
Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek menegaskan, tumpuan pentadbiran ketika ini adalah menyempurnakan amanah rakyat dan bukannya melayani percaturan politik pihak yang cuba merampas kuasa di Putrajaya.
Menurut beliau, parti tidak seharusnya terganggu dengan percaturan politik di luar PKR, sebaliknya perlu terus memperkukuh kekuatan bagi memastikan agenda reformasi dapat diteruskan.
“Kalau hari ini ada pula yang sudah mula berkira-kira bila mahu mengambil tempat kita, berpesan kepada mereka: sabar dulu. Jangan sibuk ukur langsir Putrajaya!
“Kerja kita belum selesai, perjuangan kita belum selesai dan kita belum selesai memimpin negara ini. Apa pun percaturan di luar sana kita hadap, apa pun ranjau yang dipasang kita redah, dan Putrajaya akan terus kita pertahankan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Ketua Wanita PKR sempena Kongres Nasional PKR di di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Ahad.
Mengulas lanjut, Fadhlina menjelaskan, jentera parti juga tidak boleh menunggu sehingga Parlimen dibubarkan atau calon pilihan raya diumumkan sebelum bersiap menghadapi pilihan raya.
Menurut beliau, PKR sudah melalui pengalaman dikhianati, kehilangan kerajaan dan melihat rakan menjadi lawan, justeru parti perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Jangan tunggu Parlimen bubar. Jangan tunggu calon diumumkan. Kita ini orang politik. Semua ini orang politik. Kita tahu apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Hari ini duduk bersama kita, esok runding dengan orang lain. Hari ini hendak pertahankan Kerajaan Madani, esok kita dengar cerita burukkan rakan sendiri.
“Terbang kunang di tengah malam, hinggap masuk di tiang seri. Tangan kanan diajak bersalam, apa maksud pisau di tangan kiri?” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan, agenda reformasi tidak akan selesai hanya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, sebaliknya perlu diteruskan dengan memastikan beliau kekal menerajui kerajaan.
“Reformasi tidak selesai hanya kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Reformasi mesti diteruskan dengan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri.
“Kita mahu kerja-kerja ini diteruskan. Kita mahu reformasi itu mesti diteruskan. Kita mahu ekonomi terus diperkuat. Kita mahu kehidupan rakyat terus diangkat,” katanya.
Fadhlina berkata, pilihan raya akan datang bukan sekadar menentukan jumlah kerusi yang dimenangi PKR, sebaliknya menjadi penentu sama ada perjalanan perubahan yang dimulakan kerajaan akan diteruskan atau dihentikan.
Beliau turut menegaskan kekuatan PKR tidak bergantung kepada siapa yang menjadi rakan politik atau siapa yang memilih meninggalkan parti.
“Siapa pun bersama kita, kita kuatkan. Siapa pun meninggalkan kita, kita tetap kuat.
“Kita ada semangat, kita ada anggota yang percaya kepada perjuangan. Kita ada orang yang sanggup mengetuk satu pintu, kemudian satu pintu lagi, kemudian satu lorong lagi, kerana mereka percaya negara ini boleh berubah,” katanya.
Fadhlina kemudian memberi mesej tegas kepada pihak yang sudah mula berkira-kira untuk mengambil tempat PKR dalam pentadbiran negara.
“Kalau hari ini ada pula yang sudah mula berkira-kira, bila nak ambil tempat kita, bersaing kepada mereka, sabar dulu.
“Jangan sibuk ukur langsir Putrajaya. Kerja kita belum selesai. Perjuangan kita belum selesai. Dan saudara-saudari, kita belum selesai memimpin negara ini.”
Beliau berkata, PKR akan berdepan apa juga percaturan politik dan terus mempertahankan mandat yang diberikan rakyat.
“Apa pun percaturan di luar sana, kita hadap. Apa pun ranjau yang dipasang, kita redah. Ranjau kita dengar. Ranjau kita redah. Putrajaya kita pertahankan,” katanya.





