KUANTAN – PKR menegaskan tindakan menggadai kepercayaan rakyat semata-mata demi kemenangan pilihan raya bukan menjadi strategi politik Pakatan Harapan (PH).
Ketegasan itu dinyatakan susulan perkembangan semasa membabitkan persefahaman dan kerjasama politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, PH menghormati hak setiap parti menentukan pendekatan serta strategi masing-masing dalam menghadapi pilihan raya.
Menurutnya, PKR kekal berpendirian sebarang keputusan politik di peringkat negeri sentiasa dinilai berdasarkan kepentingan serta aspirasi rakyat Negeri Sembilan.
“Berteraskan prinsip ‘bulat air kerana pembuluh, bulat kata kerana muafakat’, PH tetap bertegas bahawa menggadaikan kepercayaan demi kemenangan bukan dalam kamus strategi politik kami.
“Agenda pembangunan negara serta kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan berkesan ialah paksi serta tunjang utama yang mendasari setiap langkah politik kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Fuziah berkata, PRN Negeri Sembilan adalah pentas demokrasi untuk parti-parti menawarkan dasar, rekod perkhidmatan dan kepimpinan terbaik kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau berkata, PKR akan terus memberi tumpuan kepada perjuangan membabitkan isu kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi, kos sara hidup, pembangunan seimbang serta tadbir urus yang telus dan berintegriti.
“Perbezaan strategi politik dalam PRN adalah perkara biasa dalam landskap politik yang sentiasa terbuka kepada pelbagai kemungkinan,” katanya.





