
KUANTAN – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) komited untuk mengekalkan prestasi pembayaran dividen kompetitif, bergantung kepada pulangan pelaburan dan prestasi semasa syarikat di bawah naungannya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, LTAT telah berjaya mempertahankan kadar dividen sekurang-kurangnya lima peratus sepanjang dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
Katanya, ia sekali gus membuktikan daya tahan agensi tersebut dalam mendepani cabaran pasaran.
“Semua dividen bergantung kepada pulangan pelaburan LTAT. Saya telah minta mereka untuk meningkatkan usaha mereka.
“Kalau pendapatan LTAT itu tinggi, tidak ada sebab (untuk tidak beri dividen tinggi),” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Jelajah Wira LTAT edisi Pantai Timur di Pangkalan Udara Kuantan, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai sasaran dividen mencecah enam peratus, beliau menegaskan pihak pengurusan LTAT akan cuba sedaya upaya untuk mencapai unjuran berkenaan sekiranya syarikat pelaburan mempamerkan prestasi cemerlang.
Mengenai pelan perancangan strategik jangka panjang Angkatan Masa Hadapan, beliau berkata, pihaknya sedang memberi fokus kepada melahirkan angkatan yang lebih terlatih, berpengetahuan, kompeten, serta memanfaatkan aplikasi teknologi moden.
“Dalam kita menangani segala cabaran yang ada, setiap perkhidmatan tidak boleh bergerak secara bersendirian.
“Apa pun perancangan, kita mesti berasaskan kepada satu kesepaduan antara ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, Angkatan Tentera Malaysia yang mempunyai kekuatan sedia ada kira-kira 110,000 anggota akan terus melaksanakan pengambilan anggota baharu setiap tahun bagi mencapai jumlah optimum yang disasarkan.






