
MIRI – Bengkel komuniti filem yang berlangsung selama tiga hari di Pustaka Negeri Sarawak, di sini menghimpunkan penyertaan belia yang berpeluang mengikuti latihan berkaitan pembangunan idea, penulisan skrip, asas pengarahan, teknik pengendalian kamera serta penghasilan kandungan visual.
Wakil Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Christopher Jemat Amie berkata, penganjuran program seumpama itu bertepatan dengan usaha memperkasa pembangunan modal insan dalam kalangan belia agar mereka memiliki pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk menceburi industri kreatif yang kini semakin berkembang.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Miri itu, pembangunan bakat generasi muda perlu terus diperkasakan melalui program latihan dan pembangunan kemahiran yang mampu membuka ruang kepada belia meneroka potensi diri serta meningkatkan daya saing dalam sektor kreatif yang mempunyai prospek luas.
“Industri kreatif bukan sahaja menjadi medium untuk belia berkarya dan berinovasi, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui penghasilan kandungan kreatif yang berkualiti serta berdaya saing.
“Program seperti ini wajar diteruskan secara berkala bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak muda di Miri menimba ilmu, mengembangkan bakat dan membina kemahiran yang selari dengan keperluan industri semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Christopher turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, atas sokongan berterusan terhadap pelaksanaan pelbagai program pembangunan belia di kawasan itu.
Katanya, sokongan tersebut mencerminkan komitmen dalam memperluaskan akses kepada peluang pembelajaran, latihan kemahiran dan pembangunan bakat bagi melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing.
Beliau turut menghargai komitmen pihak penganjur, tenaga pengajar, agensi-agensi yang terlibat serta para peserta yang telah menjayakan bengkel berkenaan.
“Kerjasama erat antara semua pihak amat penting bagi memastikan lebih banyak program pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara berterusan demi manfaat masyarakat,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan dengan pengisian yang lebih komprehensif dan memenuhi keperluan semasa belia, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga kreatif yang mampu menyumbang kepada pembangunan Miri, Sarawak dan industri kreatif negara.

