
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah komited memastikan agenda pembangunan negeri dilaksanakan seiring dengan usaha memelihara alam sekitar, tanpa mengorbankan khazanah semula jadi yang menjadi kekuatan utama negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah kini mempunyai hampir 30 peratus keluasan tanah yang diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas) serta mengekalkan status sebagai negeri karbon negatif hasil keluasan kawasan hutannya.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen Sabah terhadap pemuliharaan alam sekitar telah lama dilaksanakan melalui dasar dan pengurusan tanah yang bertanggungjawab.
“Pendekatan pengurusan hutan secara inklusif yang dibangunkan bersama komuniti tempatan membolehkan kita mengekalkan keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat,” katanya pada Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia Pasifik bagi Pembangunan Mampan Sabah di di sini, pada Isnin.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Bagaimanapun, Hajiji berkata, Sabah masih memerlukan pembangunan infrastruktur yang lebih baik termasuk jalan raya, bekalan elektrik yang stabil, bekalan air bersih serta peluang ekonomi yang lebih luas bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Cabaran sebenar bukan memilih antara pembangunan atau kelestarian, sebaliknya memastikan kedua-duanya dapat bergerak seiring.
“Persoalan yang perlu kita jawab bukanlah sama ada memilih kelestarian atau pembangunan.
“Sebaliknya, bagaimana kita membina dan mengamalkan satu model baharu yang belum diterokai, di mana kelestarian menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi sebenar,” ujarnya.
Tambah Hajiji, pendekatan berkenaan menjadi antara fokus utama pentadbiran negeri dalam memastikan pembangunan Sabah terus mampan dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.







