
KOTA BHARU – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memperkukuh komitmennya untuk memastikan rakyat Kelantan menikmati bekalan air yang lebih stabil dan berkualiti menerusi pembinaan empat Loji Rawatan Air (LRA) strategik yang dijadual siap secara berperingkat sehingga 2030.
Empat projek berkenaan ialah LRA Chicha 2, LRA Tok Bali, LRA Bukit Chupak dan LRA Machang yang bakal meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat serta mengukuhkan sistem bekalan air di seluruh negeri.
Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Azhar Hanafi berkata, model pembiayaan PAAB membolehkan projek infrastruktur air dilaksanakan secara lebih terancang tanpa memberi tekanan kewangan yang besar kepada operator air negeri.
Beliau berkata, AKSB turut melaksanakan pelan transformasi bekalan air melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, PAAB serta pelbagai pihak berkepentingan.
“Transformasi sistem bekalan air Kelantan memerlukan pelaburan yang besar kerana melibatkan pembinaan loji baharu, penggantian paip lama, pembinaan tangki simpanan serta penggunaan teknologi pemantauan moden,” katanya.
Menurutnya, PAAB bukan sahaja menyediakan pembiayaan, malah bertindak sebagai rakan strategik yang membolehkan AKSB memberi tumpuan kepada operasi, penyelenggaraan dan peningkatan kualiti perkhidmatan.
Sehingga Mei 2026, PAAB telah memperuntukkan RM1.63 bilion bagi pembangunan infrastruktur bekalan air di Kelantan.
Daripada jumlah itu, RM264.28 juta melibatkan projek yang telah siap, RM376.34 juta bagi projek dalam pembinaan, manakala RM991.41 juta lagi berada pada peringkat perancangan dan reka bentuk.
Pengerusi PAAB, Jaseni Maidinsa berkata, pelaburan itu dijangka memberi impak besar kepada penduduk yang sekian lama berdepan masalah bekalan air bersih.
Beliau berkata, PAAB akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan AKSB bagi memastikan agenda memperkukuh sistem bekalan air negeri dapat direalisasikan.
LRA Bukit Chupak bernilai RM70.76 juta dengan kapasiti 10 juta liter sehari (JLH) yang dirasmikan pada 11 Jun lalu kini memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk di Gua Musang.
Projek itu turut menyelesaikan masalah bekalan air yang berlarutan hampir dua dekad di beberapa kawasan kritikal.
Sementara itu, LRA Chicha 2 bernilai RM55 juta dengan kapasiti 20 JLH dijangka siap pada Oktober 2026.
LRA Tok Bali pula melibatkan kos RM162.26 juta dengan kapasiti 50 JLH dan dijadual siap sepenuhnya pada Januari 2028.
LRA Machang yang bernilai RM500 juta dijangka siap pada 2030 dengan kapasiti 120 JLH, sekali gus menjadi antara projek infrastruktur air terbesar bagi menjamin bekalan air jangka panjang di Kelantan.
Penduduk, Yusairi Ahmad berkata, pembinaan LRA baharu memberi harapan kepada rakyat yang telah lama berdepan masalah bekalan air.
“Kami tidak mengharapkan penyelesaian sementara, sebaliknya mahu perubahan dan bekalan air bersih yang dapat dinikmati untuk jangka panjang,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Sarimah Hassan berkata, pembangunan infrastruktur air akan meningkatkan kualiti hidup penduduk serta merancakkan aktiviti ekonomi dan perniagaan di negeri ini.
Foto: Bernama






