
KOTA KINABALU – Transformasi ekonomi Sabah terus mencatat perkembangan memberangsangkan apabila negeri ini berjaya beralih daripada ekonomi yang sebelum ini bergantung kepada sektor primer kepada ekonomi yang lebih pelbagai dan dinamik, sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan berkualiti serta memacu pembangunan mampan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, selaras dengan perkembangan tersebut, Sabah mengalu-alukan pelabur yang benar-benar serius untuk mewujudkan kerjasama strategik yang saling menguntungkan demi memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri.
“Komitmen kerajaan negeri terhadap pertumbuhan ekonomi kekal teguh dan Sabah sentiasa terbuka kepada pelaburan yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
“Transformasi ekonomi Sabah amat membanggakan. Kita telah berkembang daripada sebuah ekonomi yang berteraskan sektor primer kepada sebuah ekonomi yang pelbagai dan dinamik.
“Selaras dengan matlamat ekonomi Malaysia secara keseluruhannya, komitmen kita terhadap pertumbuhan kekal teguh. Sabah terbuka untuk pelaburan,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pada Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia Pasifik bagi Pembangunan Mampan Sabah di sini, pada Isnin.
Hajiji berkata, Sabah kini mencari pelabur yang bukan sekadar membawa modal, malah memiliki kepakaran, pengalaman serta pembiayaan untuk menjayakan pembangunan yang inklusif dari segi sosial dan ekologi.
“Pelaburan impak merupakan pendekatan yang mampu menjana pulangan kewangan di samping menghasilkan manfaat sosial dan alam sekitar yang boleh diukur.
“Kedudukan Asia Pasifik sebagai rantau ekonomi yang pesat berkembang turut membuka peluang lebih besar kepada Sabah menarik pelaburan strategik, khususnya dalam sektor teknologi, tenaga hijau dan pembangunan mampan,” ujarnya.
Tambah Hajiji, forum seperti Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia Pasifik menyediakan platform terbaik kepada kerajaan, pelabur dan industri untuk membentuk kerjasama global yang mampu membawa penyelesaian transformatif kepada pembangunan negeri.



