BATU PAHAT – Beban kewangan berjumlah RM51.4 bilion yang ditanggung kerajaan susulan komitmen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan sekadar isu fiskal, malah memberi kesan langsung terhadap keupayaan negara melaksanakan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Penganalisis sosiopolitik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, setiap dana yang terpaksa diperuntukkan bagi memenuhi liabiliti lampau menyebabkan ruang fiskal kerajaan menjadi lebih terhad, sekali gus mengehadkan pelaksanaan projek pembangunan baharu di negeri-negeri termasuk Johor.
Menurut beliau, keadaan itu menggambarkan wujudnya kos peluang (opportunity cost) apabila sumber kewangan besar yang sepatutnya digunakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi pembinaan hospital, penambahbaikan sistem pendidikan, projek tebatan banjir, pengangkutan awam, perumahan mampu milik, pembangunan luar bandar serta penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Sesuatu kelemahan dalam tadbir urus tidak berakhir apabila berlaku perubahan pentadbiran, sebaliknya kesannya diwarisi oleh kerajaan seterusnya dan akhirnya ditanggung oleh rakyat melalui peruntukan negara.
“Apabila kerajaan perlu memperuntukkan sumber yang besar untuk memenuhi komitmen kewangan terdahulu, ruang fiskal untuk melaksanakan agenda pembangunan baharu menjadi lebih terbatas.
“Akhirnya, rakyat biasa yang tidak terlibat secara langsung dalam sesuatu keputusan dasar tetap menerima kesan melalui keutamaan perbelanjaan kerajaan yang berubah,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Mengulas sentimen politik di Johor, Nur Ashikin berkata, pengundi perlu menilai seseorang pemimpin secara menyeluruh berdasarkan rekod pentadbiran, prinsip akauntabiliti dan kesan keputusan yang dibuat terhadap negara, bukannya dipengaruhi faktor emosi, nostalgia atau persepsi semata-mata.
Beliau berpandangan, fenomena pengagungan terhadap figura politik mahupun sumbangannya boleh dibincangkan secara objektif, namun ia tidak seharusnya menyebabkan persoalan berkaitan integriti, ketelusan dan tanggungjawab awam diketepikan.

“Lebih penting, masyarakat perlu memahami perbezaan antara menghargai jasa politik dengan meletakkan seseorang tokoh pada kedudukan yang melampaui proses penilaian kritikal.
“Dalam politik moden, pengagungan individu menyebabkan perbincangan awam beralih dari persoalan dasar kepada personaliti. Akibatnya, isu lebih besar seperti kekuatan institusi, mekanisme semak dan imbang, pengurusan kewangan negara serta perlindungan kepentingan rakyat kurang diberi perhatian,” katanya.
Sehubungan itu, Nur Ashikin berpendapat, isu 1MDB seharusnya menjadi pengajaran penting tentang kepentingan tadbir urus yang kukuh kerana setiap keputusan dibuat memberi kesan bukan sahaja kepada generasi semasa, malah generasi akan datang.
Jelasnya, ukuran sebenar kepimpinan bukan terletak pada populariti atau kekuatan penyokong, sebaliknya sejauh mana pemimpin memastikan institusi negara dihormati, wang rakyat diurus secara bertanggungjawab dan hasil pembangunan dapat dinikmati secara adil oleh semua lapisan masyarakat.
“Mana-mana pemimpin yang diberikan mandat mengurus negara memegang amanah besar kerana keputusan mereka memberi kesan bukan sahaja kepada generasi semasa, tetapi juga generasi akan datang.
“Demokrasi yang matang bukan membina budaya mengagungkan individu, tetapi membina budaya menghormati prinsip, undang-undang dan kepentingan awam.
“Seseorang pemimpin tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan nostalgia atau persepsi terhadap kejayaan tertentu, tetapi perlu dilihat secara menyeluruh berdasarkan rekod pentadbiran, prinsip akauntabiliti serta kesan keputusan yang dibuat terhadap negara dan rakyat,” katanya.




