BATU PAHAT – Keserasian hubungan antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan dijangka menjadi antara faktor yang diberi perhatian pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, terutama dalam menilai keupayaan pentadbiran negeri melaksanakan agenda pembangunan.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Industri Kreatif, Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) Kuala Lumpur, Dr Nadiah Abdul Aziz berkata, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri kempen PRN Johor juga boleh dilihat sebagai sebahagian daripada strategi komunikasi politik bagi menyampaikan mesej mengenai komitmen kerajaan terhadap pembangunan negeri serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Menurut beliau, dalam komunikasi politik, Dr Nadiah berkata, mesej yang dibawa seseorang pemimpin bukan sekadar menyampaikan maklumat, sebaliknya turut berperanan membentuk persepsi masyarakat terhadap hala tuju dan keutamaan yang ingin diketengahkan.
“Pendekatan itu penting terutama kepada pengundi yang masih belum membuat keputusan kerana mereka bukan sahaja menilai pencapaian semasa, malah mahu melihat perancangan, komitmen dan keupayaan sesebuah parti atau pemimpin sekiranya diberi mandat mentadbir.
“Mesej sebegini sebenarnya penting terutamanya kepada pengundi yang masih belum membuat keputusan kerana mereka menilai bukan sahaja pencapaian semasa, tetapi juga untuk mengetahui perancangan, komitmen dan kompetensi seorang pemimpin atau sesebuah parti sekiranya mandat diberikan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Nadiah berkata, dalam landskap politik semasa, masyarakat tidak lagi menilai sesuatu mesej berdasarkan apa yang disampaikan semata-mata, sebaliknya turut melihat kredibiliti pemimpin melalui rekod prestasi, hala tuju serta dasar yang ditawarkan.

“Komunikasi politik yang berkesan bukan hanya untuk mendapatkan sokongan, tetapi lebih penting daripada itu adalah untuk memenangi kepercayaan masyarakat.
“Pada akhirnya, keberkesanan komunikasi bukan sekadar bergantung kepada kekuatan mesej, tetapi juga kepada keupayaan pemimpin dalam membuktikan mesej tersebut melalui tindakan yang konsisten dan responsif terhadap keperluan masyarakat setempat,” katanya.
Sebelum ini, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merayu rakyat Johor memberi peluang kepada gabungan itu untuk berkhidmat kepada negeri itu, menjelang hari pengundian PRN Johor ke-16, Sabtu ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata gabungan itu beriltizam untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi mempertahankan kepentingan Johor, sekiranya diberi mandat oleh rakyat.



