
JOHOR BAHRU – Keterujaan untuk mengundi buat kali pertama jelas dirasai dalam kalangan pengundi belia India berusia 18 tahun yang bakal menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Tinjauan The Malaysia Press (TMP) mendapati, bahagian daripada mereka menyatakan keyakinan untuk memberikan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.
Pengundi kali pertama, Bhagyashri Nantha Kumar, 18 berkata, dia teruja untuk mengundi selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), walaupun mengakui sedikit gementar kerana bakal melalui pengalaman itu buat kali pertama.

“Saya memang tidak sabar untuk mengundi tahun ini. Saya berharap kawasan saya terus mempunyai kemudahan infrastruktur yang lebih baik. Saya juga mengajak semua rakyat keluar mengundi.
“Saya akan memberikan sokongan kepada Dr Maszlee Malik kerana saya yakin beliau mampu membawa perubahan kepada DUN Puteri Wangsa,” katanya kepada The Malaysia Press.
Seorang lagi pengundi kali pertama, Ramanan Kasevan berkata, dia berharap Maszlee memperoleh kemenangan pada PRN kali ini dan dapat melaksanakan segala usaha yang memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya akan memberi sokongan kepada Dr Maszlee Malik. Saya harap beliau akan menang dan dapat melaksanakan apa yang diharapkan oleh rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Strategi PKR Johor, Prakash Maniam berkata, momentum kempen PH di Johor ketika ini berada pada tahap positif apabila sentimen rakyat terhadap usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan semakin memberangsangkan.
Beliau berkata, sambutan yang diterima daripada pengundi pelbagai kaum, termasuk Melayu, Cina dan India, menunjukkan keyakinan terhadap calon yang sehaluan dengan kerajaan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.

“Belia India memahami impak usaha yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan untuk pembangunan Johor. Mereka berharap lebih banyak peluang dalam bidang pendidikan, latihan kemahiran dan ekonomi dapat diwujudkan.
“Ramai belia kini cenderung menceburi bidang keusahawanan berbanding hanya mencari pekerjaan. Mereka mahu melihat lebih banyak peluang dan sokongan kerajaan untuk memulakan perniagaan sejak usia muda,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan, pelaburan serta latihan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus memberi prospek lebih baik kepada golongan belia di Johor.
Pada PRN Johor kali ini, bekas Menteri Pendidikan itu berdepan saingan lima penjuru apabila dicabar Teow Chia Ling yang mewakili Barisan Nasional (BN), Rashifa Aljunied (MUDA), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia) dan calon Bebas, Wang Wee Siong.
