
SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengingatkan umat Islam yang bekerja atau bermastautin di Selangor supaya menunaikan zakat pendapatan di negeri ini selaras dengan ketetapan fatwa, meskipun berasal dari negeri lain.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata, masih terdapat segelintir pekerja yang menyalurkan zakat ke negeri asal kerana kurang memahami ketetapan tersebut.
“Kita tidak dapat menganggarkan jumlah potensi kutipan zakat yang terlepas ke negeri lain kerana kekangan mendapatkan data tepat, selain tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA). Syarikat juga tidak boleh sewenang-wenangnya mendedahkan jumlah pekerja mereka.
“Namun saya yakin keadaan ini berlaku kerana masih ada yang khilaf atau tidak sedar bahawa apabila mereka bekerja atau tinggal di Selangor, tanggungjawab menunaikan zakat adalah kepada Zakat Selangor, bukannya di negeri asal,” katanya, seperti dipetik berita tempatan.
Mohd Khaidzir berkata, zakat yang dikutip di Selangor akan disalurkan semula kepada golongan asnaf di negeri ini, sekali gus memenuhi hikmah pensyariatan zakat dalam membantu masyarakat setempat.
Selain menunaikan tuntutan rukun Islam, katanya, pembayar zakat juga berpeluang menikmati rebat cukai yang disediakan kerajaan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kira-kira 5,000 ketua keluarga berjaya keluar daripada kategori fakir dan miskin sepanjang tahun lalu hasil pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan.
“Mandat zakat bukan untuk menjadikan orang miskin kaya, tetapi mengutip zakat daripada mereka yang wajib membayar dan mengagihkannya kepada lapan golongan asnaf, khususnya fakir dan miskin.
“Saya yakin semua fakir dan miskin yang dikenal pasti di Selangor telah menerima pelbagai bentuk bantuan. Sama ada mereka berjaya keluar daripada kemiskinan atau tidak bergantung kepada keadaan dan cabaran yang dihadapi setiap individu,” katanya.
Menurut beliau, setiap asnaf mempunyai latar belakang dan keperluan yang berbeza, termasuk berdepan masalah kesihatan, orang kurang upaya (OKU), kehilangan pekerjaan, muflis atau kekurangan kemahiran.
Sehubungan itu, LZS melaksanakan pendekatan bersasar mengikut keperluan penerima bantuan menerusi pelbagai inisiatif seperti bantuan pendidikan, pembangunan perniagaan, padanan pekerjaan serta bancian keperluan.







