
KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini berada di peringkat akhir untuk memperkenalkan konsep hibah bagi kedua-dua produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pelaksanaan konsep hibah itu akan dibuat sebaik sahaja cadangan berkenaan memperoleh pandangan serta kelulusan daripada aspek perundangan dan syariah.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan mekanisme hibah dapat dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan sebelum ditawarkan kepada pendeposit.
“Buat masa ini, PTPTN sedang berada di peringkat akhir ke arah memperkenalkan konsep hibah bagi kedua-dua produk Simpan SSPN, iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.
“Pelaksanaan konsep hibah bagi produk Simpan SSPN akan dilaksanakan sebaik cadangan konsep ini mendapat pandangan serta kelulusan sewajarnya daripada sudut perundangan dan syariah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
Syahredzan meminta Kementerian Pendidikan Tinggi menyatakan sama ada produk SSPN akan dilengkapi dengan prosedur hibah bagi membolehkan penerima manfaat, khususnya anak, menerima terus wang simpanan dalam akaun SSPN sekiranya pendeposit atau ibu bapa meninggal dunia tanpa perlu melalui proses faraid dan pengagihan harta pusaka.


