
PESTA sukan air Baram Regatta lazimnya diraikan dengan penuh kemeriahan dan sentiasa dinanti-nantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat di Sarawak.
Namun, di sebalik sorakan dan perlumbaan perahu yang mendebarkan, masih ramai tidak menyedari bahawa penganjuran acara ini berakar umbi daripada sebuah sejarah perdamaian agung yang menamatkan tradisi memburu kepala selepas tercetusnya Perang Madalam pada tahun 1895.
Watak utama di sebalik era peralihan yang bersejarah ini ialah Orang Kaya Temenggong (OKT) Lawai Melayong.
Beliau merupakan seorang ketua kaum berkaliber yang sanggup menggadai nyawa demi kelangsungan identiti masyarakat Orang Ulu di Bumi Kenyalang, dan legasi pengorbanannya kekal mewarnai landskap keharmonian Sarawak pada hari ini.
Merungkai salasilah: Bukti sejarah bertulis dan lisan

Bagi menyelami susur galur tokoh pahlawan ini, penulis meneliti dokumen salasilah keluarga yang sah serta menemu bual keturunan langsung beliau, iaitu Penaung Persatuan Lakiput Sarawak merangkap Yang Dipertua Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia Negeri Sarawak, Profesor Datuk Seri Dr Josephine Duyuk Tuah.
Dalam proses mendokumentasikan sejarah lisan, ketepatan fakta adalah segala-galanya. Dalam pertemuan tersebut, beliau berbesar hati berkongsi penceritaan terperinci mengenai lipatan sejarah salasilah keluarga OKT Lawai.
Beliau turut mengesahkan susur galur keturunan OKT Lawai yang mempunyai dua orang isteri, di mana isteri pertamanya bernama Dayang Suting, manakala isteri keduanya ialah Ping Lejau. Datuk Seri Josephine sendiri merupakan keturunan langsung daripada susur galur Dayang Suting.

“Kami adalah daripada susur galur Suting. Moyang perempuan kami bernama Suting. Terdapat juga salasilah di sebelah Ping Lejau (isteri kedua OKT Lawai). Di situlah (dalam carta salasilah ini) nama saya berada di susunan yang terakhir,” jelas beliau secara terperinci.
Berdasarkan dokumen salasilah keluarga rasmi, keturunan Josephine terbukti bermula daripada ikatan perkahwinan antara OKT Temenggong Lawai Melayung dengan isteri pertamanya, Dayang Suting.
Menariknya, Dayang Suting merupakan anak kepada tokoh berketurunan Rakyat Jati Brunei, iaitu Orang Kaya Setia Diraja Jau dan pasangannya, Dayang Leming.
Susur galur kepemimpinan ini diwarisi secara langsung menerusi anak mereka, Laing Temenggong Lawai (juga dikenali sebagai Akem Laing). Daripada generasi ini, nasab keluarga diteruskan kepada Dayang Purai Laing yang mendirikan rumah tangga dengan Ding Lenjau. Pasangan ini kemudiannya melahirkan bapa kepada Josephine, iaitu Tuah Ding.

Penceritaan dan dokumen bertulis ini bukan sahaja mengesahkan susur galur yang tepat, malah membuktikan wujudnya asimilasi dan ikatan silaturahim yang kuat melangkaui sempadan etnik, merangkumi masyarakat peribumi tempatan Sarawak dan keturunan Rakyat Jati Brunei sejak dari dahulu lagi.
Tentera ‘Lipan Baram’ dan keberanian di Perang Madalam

Menelusuri sejarah sebelum bermulanya pentadbiran Dinasti Brooke, Lembah Baram beroperasi di bawah taklukan Kesultanan Brunei.
Sultan Brunei pada ketika itu, Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin menganugerahkan gelaran ‘Orang Kaya Temenggong’ kepada Lawai Melayong sebagai pengiktirafan terhadap kesetiaan dan pengaruhnya.

Sejarah turut mencatatkan OKT Lawai Melayong sebagai tokoh yang sangat penting dan berpengaruh daripada etnik Kiput. Perlu diperjelaskan bahawa bangsa sebenar komuniti ini dikenali sebagai Kiput, manakala perkataan ‘Lakiput’ yang sering disalah erti sebagai nama bangsa sebenarnya hanya nama persatuan rasmi kaum tersebut.
Beliau bukan sahaja memiliki pasukan pahlawan elit yang digeruni iaitu tentera ‘Lipan Baram’, malah kelak diiktiraf sebagai pemimpin dan sumber rujukan utama semasa pemerintahan Rajah Brooke berikutan pengetahuan luasnya mengenai selok-belok kawasan Baram.
Bagaimanapun, apabila hak pentadbiran Baram mula diserahkan kepada kerajaan Brooke pada tahun 1882, OKT Lawai dengan tegas bertindak menolak asimilasi tersebut.
Beliau memimpin pengikutnya meredah laluan maut yang dikenali sebagai ‘The Headhunters’ Trail’ untuk membuka penempatan baharu di Lembah Sungai Madalam.
Pertembungan antara amalan tradisi peribumi dengan penguatkuasaan undang-undang Brooke ini akhirnya mencetuskan Perang Madalam pada tahun 1895.

Apabila kerajaan Brooke menghantar lebih 500 anggota tentera secara rahsia untuk membedil kubunya, OKT Lawai mempamerkan sifat kepemimpinan sejati dengan memilih untuk menyerah diri demi menyelamatkan nyawa rakyatnya.
Rentetan daripada pengorbanan besar itu, Residen Baram ketika itu, Charles Hose menganjurkan ‘Baram Regatta’ yang pertama di Marudi pada tahun 1899.
Acara lumba perahu ini terbukti cemerlang menyatukan lebih 6,000 penduduk berbilang etnik, sekali gus menggantikan sengketa berdarah dengan semangat kesukanan.

Pemerkasaan dan keutuhan silaturahim merentas agama
Kini, lebih seabad selepas ikrar kedamaian dimeterai, masyarakat Orang Ulu di Baram terus mendepani cabaran logistik yang rencam, disokong oleh realiti demografi semasa.
Berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Parlimen Baram merekodkan 63,499 penduduk dengan kepadatan taburan purata hanya tiga orang bagi setiap satu kilometer persegi.

Menyedari cabaran era moden, kelangsungan legasi keluarga OKT Lawai terus diperkukuh menerusi penganjuran Family Pre-Christmas Gathering di Miri pada 21 Disember lalu.
Majlis tersebut menjadi wadah penyatuan bermakna apabila keturunan Almarhum yang beragama Islam dan Kristian mengambil kesempatan berkumpul bersama menjelang sambutan Krismas 2025.
Menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Dato’ Seri Josephine selaku Pengerusi Penganjur, Penaung OKT Lawai Melayong, YM Tunku Azwil Tunku Abdul Razak menyeru masyarakat agar memainkan peranan kolektif dalam memelihara adat dan budaya.
“Adat dan budaya merupakan lambang identiti bangsa yang perlu diwarisi generasi akan datang, berfungsi sebagai benteng menghadapi pengaruh budaya asing yang tidak sihat,” pesan beliau.
Sinar harmoni keluarga ini turut dikongsi oleh generasi pewarisnya. Cucunya, Lipang Liwan Suring menegaskan bahawa peninggalan sejarah tokoh berkenaan wajar sentiasa dikenang agar generasi masa depan terus menghargainya.
Nada yang sama disuarakan oleh Datuk Bendahara Sari Ahmad, yang menzahirkan rasa syukur kerana hubungan kekeluargaan silang agama kekal erat sejak dahulu hingga kini.
Monumen hidup Bumi Kenyalang
Baram Regatta dan legasi OKT Lawai Melayong bukan sekadar lambang warisan pelancongan tahunan Sarawak, tetapi ia merupakan sebuah monumen hidup yang terus memupuk perpaduan utuh.

Keterbukaan pewaris seperti Datuk Seri Josephine Tuah mendokumentasikan salasilah keluarga yang tepat daripada Dayang Suting sehingga ke generasi hari ini membuktikan betapa pentingnya mengekalkan kelestarian sejarah.
Di kala dunia diancam perpecahan, keupayaan mengadunkan pemodenan bersama keteguhan adat silang agama pastinya menjadi kunci perpaduan Bumi Kenyalang pada masa hadapan.







