
PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan sebanyak 10 syarikat Bumiputera disenaraikan di Bursa Malaysia sepanjang 2026 dan 2027, dengan empat daripadanya dijangka memasuki pasaran saham seawal tahun ini.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sasaran itu diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera dan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Beliau berkata, pencapaian yang disasarkan itu jauh mengatasi prestasi lima tahun sebelum ini, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh penyertaan syarikat bumiputera dalam pasaran modal negara.
“Bagi merealisasikan sasaran tersebut, kerajaan memperkenalkan Program 10 Juara Bumiputera menerusi kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). Program ini bertujuan membimbing syarikat berpotensi tinggi dan melahirkan 10 syarikat Bumiputera bernilai sekurang-kurangnya RM500 juta setiap satu menjelang 2028,” katanya pada sidang media mingguan di sini pada Jumaat.
Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi berkata, ekosistem Petroliam Nasional Berhad (Petronas), GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus memainkan peranan penting dalam memperkasa agenda pembangunan ekonomi bumiputera.
Menurut beliau, ekosistem tersebut menyumbang kira-kira RM50 bilion setahun kepada pembangunan ekonomi negara, termasuk RM49.2 bilion pada tahun lalu menerusi pelaburan langsung, pembangunan vendor, pembangunan bakat serta inisiatif komuniti.
Pada masa sama katanya, kerajaan turut memperkenalkan garis panduan baharu pembangunan vendor Bumiputera bagi memperkukuh ekosistem vendor dan meningkatkan keupayaan syarikat tempatan secara lebih sistematik.
Beliau berkata, Jemaah Menteri juga sedang meneliti cadangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) supaya tempoh pembayaran oleh GLC dan GLIC kepada vendor tempatan dipendekkan bagi membantu memperbaiki aliran tunai syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana.

