
SERIAN – Karnival High Immersive Program (HIP) di Serian adalah inisiatif penting yang bertujuan memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn menegaskan bahasa Inggeris berperanan sebagai alat penting dalam dunia pendidikan, sains, teknologi, dan perniagaan, serta menjadi kunci untuk membuka peluang di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan Sarawak melalui inisiatif seperti Program Dwibahasa Sarawak (DLP) dan HIP di sekolah bagi memastikan pelajar bersedia menghadapi cabaran global.
“Pelancaran Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP) yang akan dilaksanakan bermula 1 Ogos untuk membantu pelajar yang lemah dalam subjek teras seperti Sains dan Matematik, dengan matlamat meningkatkan prestasi pelajar dalam peperiksaan SPM,” umum beliau dalam acara perasmian karnival tersebut.
Beliau menjelaskan SEEP akan menyediakan kelas tuisyen tambahan khusus untuk pelajar Tingkatan 3, 4, dan 5, dengan matlamat meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan SPM di Sarawak.
Roland juga menekankan menguasai bahasa Inggeris tidak akan menjejaskan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, tetapi sebaliknya memperkukuh keupayaan pelajar untuk berjaya di peringkat global sambil mengekalkan jati diri kebudayaan mereka.
“Penguasaan bahasa Inggeris tidak mengurangkan peranan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, malah memperlihatkan keupayaan pelajar untuk berjaya di peringkat global tanpa melupakan akar budaya mereka.”







