PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melaksanakan pelan tindakan menyeluruh bersama agensi berkaitan dalam menangani isu GISB Holdings (GISBH) yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.
Ia termasuk membantu mangsa – khususnya kanak-kanak – yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan GISBH oleh pihak berkuasa melalui Op Global bermula 11 September lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, tumpuan utama dilakukan adalah untuk memastikan aspek akidah dan kebajikan kanak-kanak, remaja serta wanita yang terbabit dengan GISBH.
“Dalam konteks hari ini, kita (Jakim) memikirkan apa yang boleh kita lakukan untuk menjaga akidah, kebajikan dan masa depan anak-anak serta mereka yang terbabit dengan GISBH.
“Jentera dan gerak kerja berkenaan telah mula dilaksanakan berdasarkan pelan yang menyeluruh dan ia akan bergerak seiring dengan semua agensi berkaitan termasuk di peringkat negeri untuk mewujudkan keharmonian dan menangani isu ini (GISBH) secara tuntas.
“Alhamdulillah, banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan khidmat dari beberapa perspektif untuk membantu bekerjasama dengan kita (Jakim),” katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kelestarian Insan Kali Ke-8 di Klana Resort di Seremban, hari ini.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pihaknya menyambut baik kesediaan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) untuk menawarkan khidmat bantuan guaman dan pemulihan kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam isu berkaitan dengan GISBH.
“Alhamdulillah, kita menyatakan terima kasih kepada PGSM, sebenarnya banyak pihak yang menyatakan kesediaan untuk menawarkan perkhidmatan masing-masing,” katanya.
Semalam, Presiden PGSM, Musa Awang dalam kenyataan yang disiarkan media menyatakan kesediaan pihaknya untuk menawarkan bantuan guaman dan pemulihan kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam isu GISBH.






