PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membuka permohonan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bagi pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan mulai 30 Jun ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata, proses permohonan bagi tahun ini akan dilaksanakan secara terus melalui universiti yang menawarkan program berkaitan sebelum diselaraskan menerusi sistem UPUOnline pada tahun hadapan.
“Sebenarnya (permohonan) UPUOnline (sebelum ini) semua sudah pun berjalan, persediaannya sudah pun berlaku sejak akhir tahun yang lalu.
“Jadi bagi mengikut ketetapan seperti yang ditetapkan oleh Jemaah Menteri, maka kita semua di peringkat universiti sudah beberapa kali mengadakan libat urus dan insya-Allah kita akan membuka permohonan secara terus kepada universiti yang menawarkan program-program terbabit bermula 30 Jun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas Laluan Kemasukan Pelajar Lepasan Di Luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke IPTA di sini, hari ini.
Azlinda berkata, calon yang ingin memohon perlu memenuhi syarat asas ditetapkan termasuk memperoleh sekurang-kurangnya kepujian dalam Bahasa Melayu serta lulus mata pelajaran Sejarah.
Menurutnya, semua permohonan akan diproses berasaskan merit, pencapaian akademik dan tertakluk kepada penilaian Senat Universiti.
“Semua permohonan kemasukan ke IPTA akan diproses berdasarkan meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada penilaian dan keputusan Senat Universiti,” katanya.
Beliau berkata, setiap calon juga perlu menjalani sesi temu duga seperti calon lain bagi memastikan kesesuaian dengan program yang dimohon.
“Sebenarnya program-program ini adalah program kompetitif kerana ramai juga calon-calon yang memohon. Jadi di situlah kita akan lihat dari segi kesesuaiannya dan bagaimana kita boleh memberi ruang dan peluang laluan kepada pelajar-pelajar yang mengambil kursus ditawarkan,” katanya.
Katanya, ketika ini tiga universiti awam menawarkan empat program kepada lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bagi lepasan tahfiz pula, antara universiti terlibat ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan beberapa universiti lain.
“Berdasarkan kepada unjuran yang ditetapkan oleh setiap universiti mengikut program. Contohnya kalau unjuran dia 50 pelajar, maka nanti prosesnya akan dipilih mengikut kepada meritokrasi juga.
“Kalau pelajar itu mencapai standard yang patut dan lulus temu duga contohnya sebab ada kriteria dan syarat-syaratnya, maka dia perlu bersaing dengan pelajar-pelajar yang lain supaya adil kepada semua,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azlinda berkata, pelajar yang diterima masuk melalui laluan khas itu turut menikmati subsidi kerajaan kerana program terbabit berada di bawah saluran pendidikan perdana.
“Kalau mereka masuk kepada program ini, ia dianggap sebagai saluran perdana maksudnya program mereka ini disubsidi oleh kerajaan juga,” katanya.
Semalam, KPT mengumumkan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC dan institusi tahfiz berpeluang mengikuti beberapa program tertentu di IPTA.
Antara program untuk lepasan tahfiz ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
Bagi lepasan SMPC/UEC pula, program ditawarkan termasuk Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.





