Isu pelarian di Pulau Pinang ditangani ikut dasar Persekutuan

GEORGE TOWN – Sebarang isu berkaitan pelarian dan pemohon suaka di Pulau Pinang perlu ditangani mengikut dasar serta mekanisme yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan pragmatik, berhemah dan bertanggungjawab dalam menangani isu pelarian serta pemohon suaka selaras dengan dasar dan keputusan yang ditetapkan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, urusan kemasukan warga asing, pengiktirafan status pelarian, kawalan sempadan dan penguatkuasaan imigresen adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Justeru, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan penuh kepada pelaksanaan Arahan MKN No. 23 (Semakan 2023), termasuk mekanisme Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang bertujuan memastikan pengurusan pelarian dilaksanakan secara lebih sistematik, berdaftar dan terkawal.

“DPP bukan dasar untuk menambah pelarian di Pulau Pinang sebaliknya merupakan mekanisme kerajaan Persekutuan untuk mengetahui siapa, di mana mereka berada dan bagaimana mereka boleh dipantau dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, bagi kerajaan negeri, keutamaan adalah memastikan keselamatan rakyat, kesejahteraan komuniti setempat dan pematuhan undang-undang sentiasa terpelihara.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang termasuk aktiviti jenayah, penyalahgunaan dokumen, pemerdagangan manusia, penglibatan dalam kegiatan tidak bermoral atau pelanggaran syarat imigresen.

“Semua kesalahan tersebut akan ditangani oleh pihak berkuasa mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa tanpa sebarang pengecualian.

“Berdasarkan data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sehingga Ogos 2023, dianggarkan seramai 20,022 pelarian dan pemohon suaka berada di Pulau Pinang,” ujarnya.

Kata Kon Yeow, di peringkat negeri, kehadiran komuniti Rohingya dikenal pasti di beberapa kawasan termasuk Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Nibong Tebal, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bukit Gelugor, Bayan Baru dan Balik Pulau.

“Saya memohon semua pihak agar menilai isu pelarian secara objektif dan berasaskan fakta kerana ia merupakan cabaran yang turut dihadapi banyak negara di seluruh dunia.

“Isu ini memerlukan keseimbangan antara pertimbangan kemanusiaan, keselamatan negara dan kepentingan rakyat tempatan.

“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan badan-badan keselamatan dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan pengurusan pelarian dan pemohon suaka dilaksanakan secara teratur, berdaftar, terkawal serta tidak menjejaskan keselamatan, kestabilan sosial dan kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.

Related Posts

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

TENOM – Program kebun sekolah yang bertujuan memupuk kesedaran terhadap keterjaminan makanan serta keusahawanan pertanian dalam kalangan pelajar dijangka diperluaskan secara besar-besaran di seluruh Sabah bermula tahun hadapan. Menteri Pertanian,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag menghadiri Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun Baharu Hijrah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Jangan manipulasi fakta!

Jangan manipulasi fakta!

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi