
STATUS pasukan pilihan Piala Dunia 2026 tidak memberi kelebihan kepada Sepanyol apabila hanya mampu seri tanpa jaringan dengan pendatang baharu, Cape Verde dalam aksi pembukaan Kumpulan H, awal pagi tadi.
Skuad juara Eropah itu menguasai sebahagian besar permainan, namun gagal menembusi benteng pertahanan kental Cape Verde yang tampil penuh disiplin pada penampilan sulung mereka di pentas Piala Dunia.
Ketiadaan Lamine Yamal dalam kesebelasan utama akibat masih dalam proses pemulihan kecederaan hamstring jelas menjejaskan ketajaman serangan Sepanyol yang kelihatan tumpul sepanjang perlawanan.
Peluang terbaik La Roja hadir menjelang tamat babak pertama menerusi Ferran Torres yang terkena palang gol sebelum penjaga gol Cape Verde, Vozinha cemerlang menafikan beberapa lagi cubaan berbahaya lawan.
Yamal dimasukkan pada babak kedua dan berjaya menghidupkan jentera serangan Sepanyol, namun pengaruh bintang muda Barcelona itu masih belum cukup untuk menghadiahkan kemenangan kepada pasukannya.
Cape Verde yang berada di ranking ke-67 dunia pula membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap jadual apabila berjaya mengekang pasukan yang dianggap antara calon utama menjulang trofi di New Jersey bulan depan.







