Bruno Fernandes
MANCHESTER United mengaktifkan klausa lanjutan kontrak setahun milik kapten pasukan, Bruno Fernandes, sekali gus menyaksikan kontraknya dilanjutkan sehingga Jun 2028.
Sumber pasukan itu berkata, langkah berkenaan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan membuka ruang untuk rundingan lanjut mengenai kontrak baharu, meskipun keutamaan ketika ini adalah memperbaiki keputusan pasukan.
United kini terperosok di tangga ke-19 Liga Perdana Inggeris selepas mencatat permulaan terburuk dalam saingan liga utama dalam tempoh 40 tahun.
Bagaimanapun, Fernandes diragui untuk beraksi menentang Brentford yang berada di tangga keenam, esok, selepas tidak menyertai sesi latihan hari ini akibat jangkitan virus.
Pemain berusia 32 tahun itu, yang menandatangani kontrak terdahulunya pada Ogos 2024, meledak kedua-dua gol ketika United seri 2-2 menentang Sporting dalam aksi Liga Juara-Juara, semalam.
Pengurus pasukan, Mauricio Pochettino berkata, keputusan mengenai ketersediaan Fernandes akan dibuat lebih hampir dengan waktu sepak mula.
“Kami belum tahu. Dia dijangkiti virus ketika berada di Portugal. Dia menamatkan perlawanan dengan sedikit masalah dan hari ini dia tidak dapat menyertai sesi latihan.
“Kami akan melihat keadaannya sepanjang hari ini dan esok, termasuk bagaimana keadaannya apabila bangun tidur. Kami tidak akan mengambil sebarang risiko,” katanya.



