
DARO – Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dr Safiee Ahmad disahkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Daro pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada Sabtu.
Kemenangan penyandang kerusi daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dicapai selepas tiada calon lain mengemukakan kertas penamaan calon apabila tempoh penyerahan borang ditutup pada pukul 10 pagi tadi.
Keputusan berkenaan sekali gus menyaksikan Safiee mempertahankan mandat sebagai wakil rakyat di kawasan itu untuk penggal ketiga berturut-turut selepas memenangi kerusi berkenaan pada PRN 2016 dan mempertahankannya pada PRN 2021.
Pada PRN Sarawak ke-12 lalu, beliau mengekalkan kerusi DUN Daro dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 5,112 undi.
Menjelang hari penamaan calon sebelum ini, Safiee menerusi hantaran di laman Facebook rasminya menyifatkan doa serta restu ibu dan ingatan buat Allahyarham bapanya sebagai sumber kekuatan utama beliau untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat di Daro.
Sepanjang dua penggal perkhidmatannya di kawasan berkenaan, tumpuan diberikan terhadap pembangunan infrastruktur asas, jaringan perhubungan darat, bekalan air bersih, capaian telekomunikasi serta pemerkasaan sektor pendidikan masyarakat luar bandar.



