Gambar hiasan
KUALA LIPIS – Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Jalan Utama Kampung Berchang, di sini, kira-kira jam 9.56 malam tadi.
Penolong Pengarah (Bahagian Operasi dan Penyelamat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis digerakkan ke lokasi sejauh 26 kilometer.
“Sebaik tiba, seorang mangsa didapati tersepit manakala dua lagi mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, dua mangsa yang cedera dibawa ke hospital berdekatan.

