
PENGURUS Manchester City, Enzo Maresca menegaskan Erling Haaland masih gembira di kelab itu meskipun penyerang berkenaan meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi hambar pasukannya sejak kebelakangan ini.
Haaland memberikan penilaian terus terang mengenai kemerosotan City selepas seri 2-2 dengan Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu.
Selepas memenangi 10 daripada 11 perlawanan pertama musim ini, skuad kendalian Maresca hanya mencatat dua kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir.
“Kami perlu melakukan yang lebih baik dan mencari cara untuk mengawal permainan dengan lebih baik serta mempamerkan prestasi yang lebih bagus.
“Saya tidak tahu apa yang kurang, tetapi dalam beberapa perlawanan terakhir, anda dapat merasakan ada sesuatu yang tidak berjalan lancar sepenuhnya,” kata Haaland.
Haaland hanya menjaringkan satu gol dalam lima perlawanan terakhir bersama City dan gagal mencatat jaringan liga dalam tiga aksi terakhirnya.
Situasi itu mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya di Stadium Etihad, ketika City turut menunggu keputusan rayuan terhadap keputusan bersalah berhubung pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana.
Bagaimanapun, Maresca menegaskan Haaland kekal komited dan reaksi penyerang itu adalah lumrah bagi seorang penyerang.
“Haaland ialah penyerang nombor sembilan. Mereka hidup untuk menjaringkan gol dan memenangi perlawanan. Jika tidak menjaringkan gol, mereka akan kecewa.
“Dia gembira. Memang normal keputusan perlawanan sedikit sebanyak mempengaruhi naluri hati, tetapi saya tidak nampak sebarang masalah dengan Haaland. Dia seorang pemenang,” katanya.
Maresca memerlukan Haaland kembali ke prestasi terbaik ketika menentang Arsenal, awal pagi Isnin.
City yang berada di tangga ketiga kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga itu, dan kekalahan di utara London akan menjadi tamparan besar kepada peluang mereka memburu kejuaraan.

