
SANDAKAN – Seramai 280 ketua isi rumah (KIR) warga negara Malaysia yang terjejas dalam kebakaran di Kampung (Kg) Bahagia bulan lalu menerima bantuan kewangan menerusi Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan yang diselaraskan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), pada Khamis.
Presiden MPS, Datuk Walter Kenson berkata, bantuan itu disalurkan hasil sumbangan pelbagai pihak yang tampil membantu meringankan beban mangsa kebakaran berkenaan.
“Seramai 280 ketua isi rumah telah menerima bantuan kewangan pada hari ini.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP), Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Yayasan Tun Juhar, Asean Supply Base (ASB) dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) atas sumbangan yang diberikan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Mangsa Kebakaran Kg Bahagia, di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini, pada Khamis.

Walter yang juga Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan, turut menghargai sumbangan badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang sebelum ini menyalurkan bantuan berupa makanan serta barangan keperluan asas kepada mangsa.
“Saya ingin berterima kasih di atas komitmen anggota keselamatan dan semua pihak yang terlibat dalam operasi pemindahan serta penyaluran bantuan kepada mangsa sehingga berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Penghargaan terima kasih juga kepada masyarakat setempat, agensi kerajaan, petugas kesihatan, pasukan penyelamat serta pengamal media yang memainkan peranan penting sepanjang pengurusan bencana tersebut.
“Kerjasama erat yang ditunjukkan semua pihak membuktikan semangat kebersamaan masyarakat Sandakan dalam menghadapi situasi bencana.
“Saya berharap semangat ini akan terus diperkukuhkan pada masa akan datang,” ujarnya yang turut mengiktiraf peranan media yang menyampaikan maklumat secara pantas dan tepat sehingga membantu mengekalkan suasana tenang serta mengelakkan penyebaran spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Mengulas mengenai penempatan semula mangsa, Walter berkata, pihak berkuasa sedang meneliti pendekatan terbaik dengan mengambil kira aspek kesesuaian kawasan, jarak dan kemudahan asas bagi memastikan mangsa dapat ditempatkan semula di lokasi yang lebih sesuai.
Menurutnya, Kg Bahagia merupakan penempatan tradisional yang telah lama wujud dan usaha penyusunan semula kawasan itu akan dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan penduduk pada masa hadapan.







